JHO LOW DAN RAKAN GUNA US$13 JUTA WANG 1MDB UNTUK BERJUDI SELAMA DUA HARI - SAKSI

04/11/2024 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang sebanyak US$13 juta milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah digunakan untuk berjudi di kasino Las Vegas Sands LLC di Amerika Syarikat, 12 tahun lepas oleh dua 'pemain'.

Penyiasat penipuan kewangan yang berpangkalan di United Kingdom, Richard Templeman berkata mereka ialah ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, dan rakannya Eric Tan Kim Loong.

Templeman berkata pada 20 Jun 2012, sebanyak US$41 juta telah dipindahkan daripada Red Granite Capital, sebuah syarikat milik Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada  sebuah syarikat yang hanya wujud di atas kertas, atau shell company, iaitu Alsen Chance.

Alsen Chance, yang tidak memiliki sebarang perniagaan sah, telah digunakan untuk pengubahan wang haram daripada 1MDB dan SRC International Sdn Bhd sebelum dana itu (US$41 juta) diagihkan kepada pelbagai pihak termasuk syarikat kasino terbabit.

“Sebanyak US$13 juta telah dipindahkan kepada Las Vegas Sands LLC iaitu US$11 juta pada 10 Julai 2012 yang ditandakan bagi PLAYER NO 3454296 dan US$2 juta pada 11 Julai 2012 yang ditandakan bagi TAN KIM LOONG PLAYER NO 4678710.”

“Penyelidikan menunjukkan bahawa Las Vegas Sands LLC ialah sebuah syarikat kasino dan pusat peranginan manakala pada 23 Julai 2012, sebanyak US$7.35 juta dan US$1.3 juta telah dikreditkan ke akaun Alsen Chance daripada Las Vegas Sands LLC.

"Kesemua bayaran ini ditandakan sebagai 'dana yang perlu dibayar oleh Low Taek Jho' dan 'dana yang perlu dibayar oleh Tan Kim Loong'.

“Nampaknya kesemua dana adalah baki bayaran yang dibuat kepada Las Vegas Sands LLC pada 10 dan 11 Julai 2012 yang mewakili dana yang dipindahkan daripada Red Granite Capital kepada Alsen Chance,” kata warga Britian itu.

Dalam pernyataan saksinya, Templeman yang memiliki pengalaman selama 24 tahun dalam siasatan penipuan rumit dan jenayah kewangan berkata Riza turut menerima wang berjuta-juta daripada Good Star Limited, sebuah syarikat milik Jho Low sejak tahun 2011 dan beliau telah mendapat manfaat daripadanya.

Untuk rekod, pada 2009 dan 2011, Good Star menerima US$700 juta dan US$330 juta daripada 1MDB.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan tiga anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy Holdings Limited serta 1MDB Energy (Langat) Limited telah memfailkan saman terhadap Riza Shahriz serta dua syarikatnya iaitu Red Granite Pictures Inc dan Red Granite Capital Ltd atas dakwaan menerima dana kira-kira US$248 juta yang disalah guna untuk kepentingan peribadi termasuk membiayai penerbitan filem serta membeli pelbagai hartanah.

Justeru itu, 1MDB memohon deklarasi bahawa Riza Shahriz bertanggungjawab menyalahgunakan dana itu dan menuntut agar ia dibayar balik.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 2021, defendan mendakwa telah mendapat pinjaman daripada keluarga diraja Arab Saudi atau International Petroleum Investment Company bagi menerbitkan beberapa filem di Amerika Syarikat.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan