JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Malaysia Utamakan Ekonomi Hijau, Pertumbuhan Lestari Mampan Dalam Pembangunan Bandar – Nga

07/11/2024 10:47 AM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Malaysia komited untuk memajukan ekonomi hijau, membangunkan sumber tenaga baharu, memacu peningkatan industri, mempromosikan ekonomi kitaran dan pada masa yang sama membangunkan program perumahan yang berfokuskan rakyat untuk memimpin negara ke arah pembangunan lestari.

Dalam satu kenyataan negara di Forum Bandar Dunia ke-12 (WUF) di Mesir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengesahkan komitmen Malaysia untuk membentuk masa depan bandar yang mampan dan berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat di tengah-tengah kemajuan pesat urbanisasi.

Bercakap di hadapan audiens antarabangsa yang terdiri daripada pembuat dasar, Nga menekankan tekad Malaysia untuk menangani cabaran pertumbuhan bandar termasuk masalah kesesakan dan kemampuan memiliki rumah.

“Seperti banyak negara lain, Malaysia sedang mengalami urbanisasi yang pesat, dengan lebih 80 peratus penduduk dijangka tinggal di kawasan bandar menjelang 2030.

“Untuk memajukan keadilan sosial dan mengelakkan jurang antara dua bandar, kita perlu memastikan semua warganegara, terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada perumahan yang mampu milik dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan yang disediakan kepada Bernama.

WUF ke-12, yang dianjurkan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sedang berlangsung di Kaherah dari 4 hingga 8 Nov.

Selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12, Nga berkata kementeriannya telah menetapkan sasaran untuk menyediakan 500,000 unit perumahan mampu milik menjelang akhir tahun depan, dengan 89 peratus daripada sasaran tersebut telah dicapai pada September 2024.

Katanya Program Kediaman Rakyat yang baru diterjemahkan semula ini bukan sahaja menekankan kemampuan milik dan keselesaan hidup, tetapi juga menggabungkan teknologi hijau dan reka bentuk cekap tenaga.

Selain perumahan, Nga juga menekankan visi lebih luas kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup bandar dengan mewujudkan lebih banyak ruang hijau, serta sasaran untuk membina dan menaik taraf 1,000 taman awam dalam tempoh sedekad akan datang, dengan 100 taman akan siap atau dipulihkan setiap tahun.

“Kami menyasarkan untuk membina dan menaik taraf 100 taman awam tahun depan bagi mempromosikan ruang hijau dan meningkatkan kesihatan mental, terutamanya di kawasan bandar yang sibuk,” katanya.

Selain itu, Nga berkongsi bahawa Agenda Bandar Baharu (NUA) kerajaan juga semakin mendapat momentum, dengan Akta Pembaharuan Bandar (PSB) yang akan datang dijangka akan menyegarkan kawasan bandar yang usang.

Dengan 534 tapak pembangunan semula yang berpotensi dikenal pasti di seluruh Semenanjung Malaysia, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM355.3 bilion, akta ini direka untuk mempermudah dan mempercepatkan usaha pembaharuan bandar dengan menurunkan ambang kelulusan untuk pembangunan semula.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan