JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

RM42.25 Juta Kepada Masyarakat India Bukti Komitmen Kerajaan Pastikan Peluang Adil

18/10/2025 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM42.25 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu khusus untuk masyarakat India, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap komuniti menikmati peluang serta kemajuan yang adil dalam arus pembangunan negara.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata langkah berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India tetapi juga memperkukuh akses pendidikan serta kemahiran digital bagi memastikan tiada komuniti tercicir dalam agenda kemajuan negara.

"Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menggubal dasar, tetapi memastikan dasar itu dirasai oleh setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat India di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 di pekarangan KL Sentral, di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Jemaah Menteri lain.

Gobind berkata antara inisiatif baharu berkenaan ialah program tuisyen percuma Kalvi MADANI, pemberian komputer riba menerusi Peranti Siswa, serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

"Program Kalvi MADANI bakal memanfaatkan murid di 200 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menerusi peruntukan RM8 juta, manakala program pembasmian miskin tegar melibatkan RM3.5 juta melalui Bank Simpanan Nasional," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan program Dharma MADANI bagi memperkasakan rumah ibadat sebagai pusat komuniti dan kebudayaan dengan peruntukan RM20 juta, selain RM19.09 juta yang diumumkan dalam Belanjawan MADANI 2026 untuk penyelenggaraan SJKT di seluruh negara.

Gobind berkata kerajaan juga meneliti pembangunan makmal ICT, bilik komputer dan perpustakaan dwibahasa Tamil-Inggeris di SJKT terpilih bagi melahirkan generasi celik digital yang bersedia menghadapi dunia moden.

"Kerajaan berhasrat mendigitalkan perkhidmatan, membina kepercayaan digital, melindungi data rakyat dan memperkukuh keselamatan siber. Setiap langkah ini membawa satu matlamat sama bahawa kemajuan teknologi mesti disertai dengan nilai kemanusiaan, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama," katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan MADANI juga komited memastikan tiada komuniti tertinggal dalam arus pendigitalan, sambil menyifatkan masyarakat India sebagai sebahagian daripada denyut nadi sejarah negara yang wajar menjadi rakan strategik dalam agenda kemajuan nasional.

Khamis lepas, Anwar dilaporkan berkata kerajaan menyediakan beberapa inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta khusus untuk manfaat masyarakat India, termasuk program tuisyen percuma dan pemberian komputer riba melalui inisiatif Peranti Siswa.

Majlis bertemakan "Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan" itu dianjurkan Kementerian Digital dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara dan dihadiri lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan