KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali tahun ini menjadi simbol kekuatan, perpaduan serta kemajuan komuniti India di Malaysia, seiring dengan aspirasi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R. Ramanan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata semangat Deepavali sebagai kemenangan cahaya ke atas kegelapan perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh perpaduan dan memperkasakan ekonomi masyarakat India.
“Cahaya Deepavali bukan sekadar simbol keagamaan, tetapi lambang kekuatan, kasih sayang dan perpaduan. Dalam semangat Malaysia MADANI, marilah kita bersatu dan memainkan peranan aktif dalam membina masa depan yang lebih makmur dan inklusif, seiring dengan proses pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ramanan, yang juga Naib Presiden PKR, turut menzahirkan harapan agar sambutan Deepavali tahun ini menjadi sinar puthiya nambikei atau harapan baharu kepada komuniti India.
“Marilah kita bersama dan bersatu menjayakan segala misi untuk memperkasakan ekonomi komuniti India. Kerajaan MADANI sentiasa komited untuk menjamin dan menunaikan harapan komuniti India,” katanya.
Ramanan, yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India, berkata kementeriannya kekal komited membantu usahawan dan koperasi India melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big di bawah TEKUN Nasional dengan peruntukan RM100 juta.
Inisiatif lain termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM100 juta, Program BRIEF-i di bawah Bank Rakyat juga bernilai RM100 juta, Geran Padanan I-BAP SME Corp sebanyak RM6 juta dan peruntukan RM50 juta oleh SME Bank untuk Program Vanigham.
Selain itu, program SOORIAN di bawah PERNAS turut menyediakan peruntukan khas RM54.5 juta – pertama kali dalam sejarah penubuhan agensi berkenaan.
“Program latihan keusahawanan Vanakam MADANI turut dilaksanakan bersama AIM, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan INSKEN bagi memperkukuh keupayaan keusahawanan dalam kalangan masyarakat India,” katanya.
Menurutnya keseluruhan inisiatif menerusi agensi di bawah KUSKOP setakat ini melibatkan peruntukan melebihi RM500 juta khusus untuk komuniti India, tidak termasuk inisiatif kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) yang turut menyediakan program khas untuk manfaat masyarakat itu.
“Di bawah KUSKOP, kami mahu melihat lebih ramai usahawan India berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa. Inilah makna sebenar cahaya Deepavali — membimbing, menyinari dan membuka jalan kepada kejayaan bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial