PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes seorang penuntut Universiti Malaya maut selepas terjatuh daripada bangunan kolej kediaman pada 17 Okt lepas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata buat masa ini, kes berkenaan masih dalam siasatan PDRM dan ia di luar bidang kuasa kementerian itu.
“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menyediakan laporan (siasatan kejadian itu). Jadi, untuk peringkat ini, biarlah kami serahkan kepada pihak polis untuk membuat laporan (atau) siasatan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di sini hari ini.
Pada 17 Okt lepas, seorang pelajar UM berusia 22 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari kolej kediaman dalam kejadian pada 3.15 petang.
Sebelum ini, UM dalam kenyataan memaklumkan mahasiswa yang terlibat dalam insiden berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut kenyataan itu, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM kini memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
UM juga minta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ítu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial