Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi dan N. Kuvineshwaren
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Air mata kegembiraan mengiringi penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN hari ini, menandakan berakhirnya penantian 14 tahun negara berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga badan serantau itu.
Sorakan dan tepukan gemuruh daripada delegasi serta pengamal media Timor-Leste bergema di Pusat Media Antarabangsa, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebaik pengumuman bersejarah itu dibuat.
Pegawai Perhubungan Media Timor-Leste Augusto Sarmento berkata walaupun terdapat keraguan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada Mei lepas mengenai kemungkinan penyertaan negaranya dalam badan serantau itu, akhirnya impian rakyat Timor-Leste menjadi kenyataan.
“Saya sangat terharu… kami (Timor-Leste) kini secara rasmi menjadi anggota ASEAN dan sebahagian daripada keluarga besar ASEAN. Yang sangat penting, ASEAN mempunyai visi ekonomi jelas, sesuatu yang sangat penting bagi masyarakat di Timor-Leste dan rantau ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dari segi ekonomi, penyertaan itu diyakini dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat di Timor-Leste tetapi juga kepada seluruh rantau ASEAN.
Jurugambar Kementerian Luar Timor-Leste, Antonio Guterres berkata beliau sangat gembira kerana para pemimpin ASEAN telah menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu.
“Selama 14 tahun sejak kami menghantar permohonan pada 2011 di Jakarta ketika Indonesia menjadi pengerusi ASEAN, kami menunggu dengan penuh harapan bila saat itu akan tiba.
“Sepanjang 13 tahun, kerajaan Timor-Leste telah berusaha sedaya upaya agar kami dapat menjadi anggota rasmi, kerana kami sememangnya sebahagian daripada benua Asia. Dengan pencapaian ini, ia dapat mengukuhkan lagi keluarga ASEAN di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata pengumuman rasmi penyertaan itu merupakan detik yang penuh emosi bagi delegasi Timor-Leste.
“Ketika diumumkan, kami sangat terharu hingga hampir menangis kerana momen ini adalah yang paling ditunggu-tunggu, dan akhirnya ia berlaku di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada negara anggota ASEAN kerana telah menerima Timor-Leste,” katanya.
Wartawan Timor Post Isabel Ermelita pula menyifatkan kemasukan negaranya sebagai anggota ke-11 ASEAN sebagai satu detik bersejarah yang pastinya akan membawa perubahan besar kepada Timor-Leste.
“Bukan perjuangan yang sangat mudah... sejak 2011 dan baru tahun ini Timor-Leste akhirnya secara rasmi menjadi anggota ASEAN ke-11,” katanya.
Penyertaan negara itu, katanya dapat membawa perubahan ke arah ekonomi, sosioekonomi dan pembangunan yang lebih baik di negara itu.
Timor-Leste hari ini secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu kejayaan bersejarah bagi negara muda itu serta blok serantau berkenaan.
Penyertaan itu, yang merupakan perluasan pertama ASEAN dalam tempoh 26 tahun, dimuktamadkan melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Deklarasi itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr dan Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar U Hau Khan Sum.
Timor-Leste diwakili oleh Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial