JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Korea Selatan Bentang Inisiatif Baharu, Visi Keamanan Di Sidang Kemuncak ASEAN

27/10/2025 10:30 AM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, yang telah tiba di Kuala Lumpur, dijangka membentangkan inisiatif baharu Seoul bagi memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) serta mendapatkan sokongan bagi usaha keamanan di Semenanjung Korea, lapor agensi berita Yonhap.

Dalam penyertaan sulungnya pada perhimpunan tahunan itu sejak memegang jawatan pada Jun lalu, Lee akan menggariskan inisiatif baharu Korea Selatan untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai dengan ASEAN tahun lalu, serta mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak Khas Korea-ASEAN pada 2029 bagi memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik.

“Visi CSP” berasaskan rangka perkongsian tertinggi ASEAN itu bertujuan menempatkan Korea Selatan sebagai “penyumbang” kepada pembangunan belia di Asia Tenggara, “landasan” kepada pertumbuhan dan inovasi, serta “rakan bagi keamanan dan kestabilan,” kata Penasihat Keselamatan Negara Wi Sung Iac pada Ahad.

Lee turut dijangka berkongsi inisiatif “END” yang merangkumi tiga elemen - “exchange” (pertukaran), “normalisation” (normalisasi) dan “denuclearisation” (penyahnuklearan) - bagi meredakan ketegangan serta memperbaiki hubungan antara Korea, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik untuk menarik sokongan negara anggota ASEAN.

Beliau juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga bersama Jepun dan China untuk membincangkan cara memperkukuh kerjasama serantau yang lebih luas.

Di luar sidang itu, Lee dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi membincangkan perkongsian strategik dan isu semasa, termasuk jenayah penipuan dalam talian rentas sempadan.

Kemudian pada hari yang sama, beliau akan bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneroka langkah mempertingkat hubungan dua hala sebelum berlepas pulang.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan