Oleh Zarul Effendi Razali
SEPANG, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.06 pagi ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dengan berlepasnya pesawat Air Force One sekali gus menandakan berakhir lawatan dua hari Trump ke Malaysia, kunjungan pertamanya ke Malaysia sejak kembali memegang jawatan pada awal tahun ini dan sebagai sebahagian siri lawatan ke beberapa negara Asia.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berada di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, termasuk Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan dilihat berada di hotel penginapan Trump di ibu negara.
Di luar sidang kemuncak itu, Trump dan Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, usaha ke arah menamatkan pertikaian antara kedua-dua negara jiran itu yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
Perjanjian damai yang ditandatangani di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 itu turut menyaksikan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memantau usaha perdamaian serta memastikan kestabilan jangka panjang di kawasan sempadan.
Trump turut memuji Anwar atas keberanian dan kejayaan sebagai perantara dalam proses perjanjian berkenaan, menyifatkan beliau sebagai tokoh hebat dan bersejarah yang berjaya mempertemukan kedua-dua pihak melalui dialog dan diplomasi.
Selain itu, Trump turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar, kedua-dua pemimpin menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS dan Perkongsian Strategik Komprehensif yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi, tenaga dan mineral penting.
Majlis menandatangani itu turut diserikan dengan interaksi santai apabila Anwar secara berseloroh merujuk pen Trump sebagai “pen Rumah Putih”, mencetuskan suasana ceria dan mencerminkan keakraban hubungan antara kedua-dua pemimpin.
Trump turut meluangkan masa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 menyaksikan beliau menegaskan semula komitmen penuh Washington terhadap Asia Tenggara serta berikrar meneruskan kerjasama pada era yang disifatkan sebagai “zaman keemasan Amerika”.
Beliau berkata AS terus komited memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur, serta memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau.
“Pesanan saya kepada negara-negara di Asia Tenggara ialah AS seratus peratus berada di pihak anda, dan kami berhasrat menjadi rakan kongsi dan sahabat anda yang kuat untuk generasi akan datang,” kata Trump dalam ucapan pada sidang kemuncak ASEAN-AS itu.
Presiden AS itu turut memuji Malaysia atas kepimpinan serta layanan mesra di bawah pentadbiran Anwar, dan berkata lawatan ini memberikan beliau peluang untuk melihat sendiri kemajuan serta pencapaian negara ini.
"Pengalaman saya di sini benar-benar menakjubkan. Saya baru sehari berada di Malaysia namun Perdana Menteri (Anwar) memastikan bahawa saya melihat segalanya, setiap perkara,” katanya yang berkongsi pengalaman menaiki kenderaan rasmi presiden “The Beast” dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke KLCC.
Trump kemudian menyifatkan lawatan pertama beliau ke Asia sebagai “momen menarik” danperjanjian perdagangan baharu yang dicapai dengan Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Thailand berpotensi membawa banyak manfaat kepada ekonomi serantau.
Beliau berkata AS berharap dapat memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, teknologi hijau dan pembuatan termaju, sambil menekankan peranan penting ASEAN dalam pertumbuhan global dan rantaian bekalan dunia.
Presiden AS itu akan meneruskan siri lawatan beliau dengan mengunjungi Jepun sebelum ke Korea Selatan bagi menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025, dan dijangka bertemu dengan Presiden China Xi Jinping sebelum mengakhiri lawatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial