ALOR SETAR, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan kesiapsiagaan sekolah menghadapi bencana berada pada tahap terbaik dengan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terpelihara.
KPM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengadakan sesi lawatan kerja sehari ke Kedah untuk meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan banjir.
“Menteri Pendidikan telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi MTL bersama-sama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan pegawai pendidikan daerah.
“Persediaan turut merangkumi keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Fadhlina turut meninjau persediaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini yang akan dijadikan pusat penempatan calon SPM sewaktu banjir.
Beliau juga menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Haji Idris, Pendang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dengan sebanyak 128 mangsa ditempatkan di situ setakat petang tadi.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata asrama sekolah itu telah dikosongkan untuk memberi laluan kepada calon SPM terjejas banjir menginap sepanjang tempoh peperiksaan.
“Sebanyak 74 calon SPM dijangka terjejas banjir, selain sekolah ini juga akan menerima 45 calon tumpang dari SMK Alor Merah,” katanya semasa ditemui pemberita.
Faridah berkata sepanjang tempoh itu, pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah itu menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial