JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Cadangan Integrasi CCTV Di Sekolah Dengan Sistem Pemantauan PDRM Diperhalusi

30/10/2025 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Kebolehlaksanaan integrasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dengan sistem pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diteliti bagi memastikan pengawasan keselamatan dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) diperuntukkan dana RM8 juta bagi tujuan pemasangan CCTV di sekolah untuk diintegrasikan dengan sistem PDRM yang akan mengambil kira aspek keupayaan perkakasan, sistem dan perangkaian PDRM.

“Saya akan meminta pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) melihat kemungkinan hal ini boleh dilaksanakan supaya pengawasan bersifat real time atau masa sebenar akan dapat dilakukan.

“Dalam masa sama, KDN mengarahkan polis untuk meningkatkan pengawasan di kawasan sekolah bersifat omnipresence serta rondaan dengan kenderaan polis di kawasan sekolah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KDN di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution mendedahkan jumlah kes buli di sekolah bagi tempoh 2022 hingga Jun 2025 sebanyak 687 kes, dengan 105 kes direkodkan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

“Setelah kami meminda Kanun Keseksaan dengan memasukkan seksyen bermula 507B hingga 507G, polis membuka kertas siasatan 87 kes buli sepanjang Ogos hingga September tahun ini.

“Bagi kes rogol yang berlaku dalam kawasan sekolah, sebanyak 112 kes dilaporkan dalam tempoh 2022 hingga 2025, manakala kes bunuh dalam kawasan sekolah pula setakat ini merekodkan dua kes, masing-masing membabitkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan