JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Anugerah Kerajaan Jepun Penghargaan Tertinggi Kepada Sarawak - Abang Johari

04/11/2025 04:47 PM

KOTA SAMARAHAN, 4 Nov (Bernama) -- Penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Kerajaan Jepun kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan dasar negeri itu dalam membangunkan tenaga hijau serta ekonomi rendah karbon.

Abang Johari menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Jepun khususnya Maharaja Jepun, Naruhito, atas penganugerahan berkenaan sambil menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap dasar progresif yang digerakkan oleh Sarawak.

“Terima kasih kepada kerajaan Jepun dan khasnya Maharaja Jepun yang telah menganugerahkan Order of the Rising Sun kepada saya.

“Saya tidak menyangkakannya, tetapi telah dimaklumkan mengenai perkara itu. Ia bukan anugerah untuk saya semata-mata, tetapi untuk Sarawak iaitu pengiktirafan dunia terhadap dasar yang kita laksanakan, khususnya dalam sektor tenaga, hidrogen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-29 di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Pro-Canselor UNIMAS berkata Jepun menunjukkan minat mendalam terhadap inisiatif Sarawak dalam penerokaan teknologi tenaga baharu, tenaga hijau serta teknologi tanpa jejak karbon.

Beliau berkata Sarawak menumpukan empat bidang utama menjelang 2035 iaitu tenaga boleh baharu, pembangunan gas tanpa karbon termasuk metana mesra alam, teknologi penyimpanan karbon (CCUS) serta pembangunan semikonduktor bagi menambah nilai bahan mentah tempatan.

Selain itu, katanya, Sarawak turut memperkukuh dasar penanaman semula hutan menggunakan spesies pokok tumbuh cepat yang bukan sahaja berfungsi sebagai penyerap karbon semula jadi, tetapi juga sumber biomas untuk tenaga hijau iaitu usaha yang turut mendapat pengiktirafan Jepun.

“Kerjasama kita (Sarawak) dengan Jepun membuktikan bahawa Sarawak berada di landasan yang betul menuju ekonomi hijau dan lestari. Ini satu penghormatan besar, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada seluruh pimpinan dan rakyat Sarawak yang berusaha menjadikan negeri ini peneraju tenaga hijau di rantau ini,” katanya.

Anugerah Order of the Rising Sun merupakan antara penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Jepun kepada individu luar negara yang banyak menyumbang kepada hubungan dua hala dan pembangunan sejagat.

Semalam, Kedutaan Jepun memaklumkan Abang Johari merupakan antara penerima Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumumkan oleh kerajaan Jepun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan