JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke FOI Putrajaya 2025

06/11/2025 12:43 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 iaitu platform berprestij yang menghimpunkan dunia akademia dan industri bagi memacu inovasi serta pembangunan negara.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9.30 pagi diiringi Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengikuti syarahan perdana Prof Dr Hisham A Hellyer dari Royal United Services Institute for Defence, United Kingdom dan Profesor Madya Dr Khairudin Aljunied dari National University of Singapore Affiliation with International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM).

Mereka membentangkan topik Adab as Moral Compass: From Principle to Practice in Our Troubled World dan The Future of Muslim Scholar-Activism in Southeast Asia, yang menyorot isu pendidikan Islam, nilai moral serta hala tuju cendekiawan masa depan di rantau ini.

FOI Putrajaya 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Nov ini dijangka menarik hampir 500,000 pengunjung fizikal dan sekitar dua juta peserta, termasuk 1.5 juta peserta maya dari seluruh dunia.

Memasuki tahun kedua penganjuranya, Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar medan pertemuan idea tetapi juga wadah utama untuk merealisasikan solusi berasaskan ilmu dan kreativiti demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara.

Bertemakan "MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea" Putrajaya FOI 2025 merupakan manifestasi pendekatan seluruh kerajaan, melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan industri bagi menjana wacana intelektual serta inovasi yang dapat dikongsi bersama seluruh rakyat.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan