JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

PKNPk-Gamuda JV, PBAPP Capai Kesepakatan MoU Bekalan Air Pukal Ke Pulau Pinang

06/11/2025 08:25 PM

IPOH, 6 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penjualan lebihan air terawat daripada Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) kepada Pulau Pinang.

Menurut kenyataan bersama PKNPk, Gamuda dan PBAPP, perjanjian itu merupakan hasil rundingan intensif beberapa bulan bagi menetapkan terma utama penjualan air, termasuk harga, jumlah bekalan dan tempoh pembekalan, sebagai asas Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) yang bakal dimeterai antara pembekal dan PBAPP.

"Kedua-dua pihak berhasrat memuktamadkan BWSA dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan," menurut kenyataan itu.

Projek NPWSS dirancang sebagai inisiatif strategik untuk memindahkan 1,500 juta liter sehari (MLD) air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bagi memenuhi keperluan pengairan, domestik dan perindustrian, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

MoU itu memeterai kerjasama antara pihak pembekal, syarikat yang akan ditubuhkan oleh PKNPk-Gamuda JV, yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak, dan PBAPP sebagai pihak pembeli. Majlis penandatanganan berlangsung di Hotel Casuarina di sini dan dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama pegawai kanan kedua-dua kerajaan negeri.

Saarani berkata MoU itu menamatkan kebuntuan isu bekalan air antara negeri yang berlarutan lebih sedekad.

"Hanya tiga tahun kebelakangan ini, kedua-dua negeri berjaya mencapai momentum serta kesinambungan yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak. Hari ini, kita mencapai penyelesaian melalui persefahaman ini.

“Pembinaan dijangka siap pada 2030, sejajar dengan keperluan menampung unjuran defisit bekalan air di Pulau Pinang seperti dilaporkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada 2022," katanya.

Beliau menambah perjanjian itu selari dengan Perak Sejahtera 2030, memanfaatkan sumber air secara lestari, menjana hasil negeri baharu dan berterusan selama 40 tahun serta sejajar dengan strategi pelaburan awam baharu dalam Belanjawan 2026.

“Projek ini bersifat komersial dan boleh dibiayai secara fleksibel melalui pembiayaan Persekutuan atau kerjasama awam-swasta (PPP).

Sementara itu, Chow berkata perjanjian itu memastikan bekalan air terawat yang stabil dan berpatutan untuk jangka panjang, memberi Pulau Pinang kepelbagaian sumber air dan mengurangkan pergantungan kepada Sungai Muda.

“NPWSS juga melengkapkan Water Contingency Plan 2030 Pulau Pinang, menjamin bekalan air kritikal menjelang 2031.

"Kami berharap projek ini disiapkan mengikut jadual dan yakin dengan pengalaman PKNPk-Gamuda JV dalam pelaksanaan projek ini tepat pada waktunya. Ini penting untuk memastikan Pulau Pinang terus menarik pelaburan bernilai tinggi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan industri negeri untuk beberapa dekad akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan