JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sultan Ibrahim Diberi Sambutan Negara Di Istana Sakhir

06/11/2025 11:06 PM

Daripada Erda Khursyiah Basir

MANAMA (BAHRAIN), 6 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Sakhir di sini pada Khamis bersempena dengan lawatan negara tiga hari Seri Paduka Baginda di Bahrain.

Sebaik tiba di Istana Sakhir, Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa disambut oleh kumpulan pelajar negara itu yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Bahrain.

Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad kemudian berkenan menyaksikan "Ardah", persembahan tarian tradisional Bahrain sebelum berangkat ke Podium of Honour, diiringi 21 das tembakan meriam.

Turut bersama-sama Seri Paduka Baginda ialah paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj, dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj serta Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, sebelum Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad berangkat ke Red Brief Council Room untuk mengadakan pertemuan rasmi.

Terletak di Wilayah Selatan berhampiran Zallaq dan Universiti Bahrain, Istana Sakhir adalah antara kediaman diraja paling terkemuka di negara berkenaan.

Dibina antara 1870 hingga 1901, istana bersejarah itu pernah menjadi kediaman pemerintah Bahrain Shaikh Hamad bin Isa Al Khalifa dari 1932 hingga 1942.

Selesai pertemuan rasmi, Sultan Ibrahim berangkat ke Tugu Peringatan Syuhada’, sebuah lokasi penting dalam sejarah Bahrain yang terletak berdekatan Istana Sakhir.

Sejurus tiba, Seri Paduka Baginda diiringi ke Royal Podium sebelum berangkat ke tugu peringatan berkenaan. Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Fatihah dan doa.

Yang di-Pertuan Agong kemudian berkenan menuju ke pokok palma berhampiran tugu peringatan terbabit untuk melakukan upacara simbolik menyiram pokok itu, menandakan berakhirnya upacara berkenaan.

Lawatan negara ke Bahrain ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.

Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan