JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

596 Calon Raikan "Pesta Demokrasi" PRN Sabah Ke-17

16/11/2025 05:13 AM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan penyertaan 596 calon bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraikan “pesta demokrasi” berbanding 447 calon semasa PRN ke-16 pada 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata daripada jumlah itu, sebanyak 525 calon adalah lelaki manakala 71 lagi wanita, dan tiada kertas pencalonan ditolak.

Sebanyak 23 parti politik bertanding dengan Warisan menyenaraikan 73 calon, Parti Impian Sabah (PIS) (72), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (55), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (46), Barisan Nasional (BN) (45), Perikatan Nasional (PN) (42), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (25) dan Pakatan Harapan (PH) (22).

Turut bertanding Parti Kebangsaan Sabah (PKS) (20), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) (17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (16), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (14), Parti Rumpun Sabah (Rumpun) (tujuh), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam), Parti Damai Sabah (SPP) (lima), Perjuangan Rakyat (PR) (enam), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) (tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (tiga) manakala Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing satu calon.

Sebanyak 73 calon pula bertanding atas tiket Bebas.

Calon tertua pada PRN kali ini ialah Uling @ Thomas Anggan, 86, daripada PKS yang bertanding di DUN Bingkor, manakala calon termuda Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin, 24, juga mewakili PKS.

DUN Tulid yang kali pertama dipertandingkan pada PRN lepas, menyaksikan persaingan sengit 14 penjuru, Bandau, Tamparuli, Inanam serta Kapayan masing-masing 13 penjuru manakala DUN Banggi dan Moyong masing-masing merekodkan persaingan 12 penjuru.

DUN Bengkoka, Tanjong Kapor, Pintasan, Karambunai, Tanjung Keramat dan Balung menyaksikan pertembungan 11 penjuru manakala 10 DUN merekodkan sembilan penjuru, lapan DUN membabitkan lapan penjuru, 10 DUN (tujuh penjuru), 13 DUN (enam penjuru), lapan DUN (lima penjuru) dan dua DUN empat penjuru. 

Empat Timbalan Menteri Persekutuan iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mewakili BN berdepan saingan lima penjuru di DUN Sook.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin juga Timbalan Pengerusi DAP Sabah pula berdepan sembilan penjuru di Tanjung Aru mewakili PH, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin mewakili BN di DUN Bongawan berdepan sembilan penjuru, dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Mohammad Yusof Apdal berdepan lapan penjuru di DUN Silam mewakili Warisan.

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick juga Presiden UPKO mempertahankan DUN Kadamaian dalam saingan lapan penjuru.

Figura seni dan sukan turut memeriahkan ‘pesta demokrasi’ ini dengan penyanyi dan pelakon terkenal Sabah Abu Bakar Ellah atau dikenali Ampal yang bertanding atas tiket KDM bagi DUN Kuamut, manakala penyanyi veteran Kadazandusun John Samud bertanding di DUN Tempasuk juga mewakili KDM.

Bekas penyampai berita RTM Kota Kinabalu Francis Fahir bertanding di DUN Pantai Dalit mewakili STAR, bekas pemain serta pengurus pasukan bola sepak Sabah Henry Soimpon calon KDM di DUN Kiulu manaka bekas bintang bola sepak Sabah Jekerison Kilan pula bertanding di DUN Nabawan, juga mewakili KDM.

Calon adik-beradik turut mewarnai PRN kali ini dengan Chaya Sulaiman mewakili BN dan Ma'mun Sulaiman calon Warisan di DUN Kukusan manakala  Awang Husaini Sahari yang mewakili PH menentang abangnya Awang Ahmad Sah yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Petagas.

Dua anak kepada Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman tampil sebagai calon iaitu Datuk Yamani Hafez, 48, yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan II tampil sebagai calon PH di Sindumin manakala adiknya, Hazem Mubarak, 43, mewakili GRS di Sungai Manila.  

Dua bekas Ketua Menteri turut “masuk gelanggang” kali iaitu Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berdepan saingan empat penjuru mempertahankan DUN Senallang manakala Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, 68, mewakili BN akan mempertahankan DUN Usukan dalam saingan enam penjuru.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun memaklumkan proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan tiada laporan polis diterima sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya menyeru semua pihak untuk mempertahankan semangat profesional ini dan bersama-sama mencipta sejarah bahawa pilihan raya ini berjalan tanpa insiden dan tidak ada laporan polis hinggalah tamat proses pengundian 29 Nov ini,” katanya.

Tarikh pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ialah pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan