JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Peruntukan Lebih RM2 Bilion Perkukuh Kesalinghubungan Di Sabah - MCMC

18/11/2025 10:34 AM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menegaskan bahawa lebih RM2 bilion peruntukan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi Sabah, merangkumi beberapa inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di negeri berkenaan.

Menurut MCMC, antara perkembangan utama ialah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, projek baharu bernilai lebih RM300 juta hasil kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.

Inisiatif itu meliputi peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam, pemasangan smart poles berintegrasi 4G dan 5G serta sistem kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang disambung terus ke pusat operasi bandar pintar.

"Bagi meluaskan lagi liputan di Sabah, pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, dengan anggaran kos keseluruhan RM1.4 bilion," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut MCMC, peruntukan itu merangkumi kos pembangunan serta kos operasi bagi tempoh lima tahun dan inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah dan mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk.

"Sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta untuk lima tahun," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan melalui penyediaan ruang pembelajaran komuniti yang menawarkan akses Internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital.

"Selain itu, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera," menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan sebanyak sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat inisiatif berkenaan melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan kos sebanyak RM14.2 juta.

MCMC memaklumkan pihaknya kekal komited memastikan setiap usaha dilaksanakan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti rangkaian, pengalaman pengguna keselamatan dalam talian serta pembangunan bandar pintar yang lebih inklusif untuk rakyat Sabah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan