JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Daripada Tradisi Ke Teknologi, Smart SBB Naik Taraf Kota Belud Sebagai Jelapang Padi Sabah

18/11/2025 07:27 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KOTA BELUD, 18 Nov (Bernama) -- Sedekad yang lepas, pesawah di kawasan Tempasuk di Pantai Barat Sabah masih bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional seperti membajak sawah menggunakan kerbau atau sisir buloh sebelum beralih kepada jentera berat. 

Kebergantungan kepada cara lama itu menyebabkan kerja-kerja pertanian tidak seragam, berjalan perlahan dan hasil padi kekal rendah iaitu sekitar 2.2 tan metrik sehektar.

Namun, perubahan ketara berlaku sejak pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) pada 2022 yang benar-benar mengubah cara pesawah mengusahakan padi, sekali gus menjadi titik permulaan transformasi pertanian moden di Negeri di Bawah Bayu berkenaan. 

Ketua program Smart SBB di Kampung Jawi-Jawi Adlin Muhammad, 51, berkata perubahan besar mula kelihatan apabila teknologi moden dan teknik pengurusan ladang yang lebih teratur diperkenalkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kepada 19 pesawah di kampung itu yang mengusahakan tanaman padi seluas 49 hektar.

“Pada mulanya kami agak terkejut dengan sistem itu kerana ia sesuatu yang belum pernah kami cuba, namun selepas beberapa pegawai BERNAS memperkenalkan sistem itu serta kelebihannya, kami mula memahami manfaat yang boleh dibawa ke Kampung Jawi-Jawi.

“Kawasan ini sudah mempunyai sistem pengairan yang tersusun, namun memerlukan sistem yang lebih moden untuk meningkatkan kecekapan. Oleh itu, kami menerima cabaran ini dan bersetuju untuk menyertai projek Smart SBB,” katanya kepada Bernama.

Diperkenalkan sebagai projek perintis di Sabah, Kampung Jawi-Jawi berjaya mencatatkan hasil padi sebanyak 2.65 tan metrik sehektar pada musim pertama, meningkat kepada 4.15 tan metrik pada musim kedua dan seterusnya 4.17 tan metrik pada musim ketiga.

Pencapaian itu melebihi sasaran asal, meskipun berdepan cabaran cuaca dan serangan tikus hasil kepatuhan kepada jadual kerja ladang dan kaedah baharu yang diperkenalkan.

Adlin yang juga Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) kampung itu berkata satu daripada pembaharuan paling ketara Smart SBB adalah penggunaan dron untuk menyembur racun berbanding secara manual yang tidak sekata serta memakan masa panjang selain pemilihan racun yang diuji serta disyorkan oleh BERNAS.

“Smart SBB juga menyelesaikan masalah kekurangan jentera ketika musim menuai. Semua jentera seperti jentera penuai diurus dan ditempah lebih awal mengikut jadual ladang dan pesawah hanya perlu menunggu mesin masuk ke petak masing-masing. Hasil pula dihantar terus ke kilang yang bekerjasama dengan BERNAS. 

“Manfaat terbesar Smart SBB juga melibatkan pengurangan kebergantungan kepada tenaga manusia, dulu kami 100 peratus bergantung tenaga sendiri tetapi sekarang kerja lebih mudah, tersusun dan hasil meningkat hampir dua kali ganda,” katanya.

Kejayaan Kampung Jawi-Jawi itu turut menarik minat kampung lain, termasuk Kampung Kesapang untuk menyertai program Smart SBB melibatkan 88 hektar sawah dan lebih 50 peserta, dengan peningkatan hasil yang ketara berbanding sebelum ini, sekali gus menjadikan daerah ini sebagai Jelapang Padi Sabah. 

Ketua program di Kampung Kesapang, Jafly Latu, 62, berkata projek itu berjaya meningkatkan hasil daripada 1.5 tan kepada sekitar 4 hingga 5 tan metrik sehektar, sekali gus membebaskan pesawah daripada beban hutang.

“Sebab utama Kampung Kesapang menyertai Smart SBB ialah bantuan modal 100 peratus BERNAS tanggung daripada benih, baja, racun dan kini tiada lagi pesawah bawa balik kertas hutang, sekarang mereka bawa balik duit.

“Malah pesawah juga boleh buat simpanan di rumah kerana saya sendiri simpan lebih kurang 500 kilogram setiap musim dan kami tidak minat beli beras luar, hasil titik peluh sendiri lebih sedap,” katanya. 

Jafly berkata peningkatan hasil itu dicapai hasil pemantauan rapi BERNAS yang turun padang setiap dua minggu untuk menangani masalah penyakit, serangan perosak dan bekalan air dengan segera dan efisien.

Beliau berkata kejayaan Smart SBB juga berjaya menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian yang menurutnya pada tahun hadapan, kira-kira 30 orang belia akan dilatih untuk membangunkan 20 hektar kawasan sawah.

Program Smart SBB adalah inisiatif strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran padi, memperkukuh pendapatan pesawah dan menjamin ketahanan makanan negara melalui pendekatan teknologi moden dan pengurusan bersepadu.

Dengan sokongan agensi kerajaan, teknologi moden dan peningkatan hasil, Kampung Jawi-Jawi dan Kampung Kesapang yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk kini menjadi contoh kejayaan Smart SBB dalam menaikkan taraf kehidupan pesawah.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, DUN Tempasuk yang mempunyai sebanyak 17,116 pengundi akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan, ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal pada 25 Nov ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N09: TEMPASUK: SABAH: 17,116

1. Rozlih @ John Samud         (KDM)

2. Datuk Mohd Arsad Bistari    (GRS-Gagasan Rakyat)

3. Dr Rimin Maun                     (PKS)

4. Azuwan Marjan @ Norjan    (BN-UMNO)

5. Timuti Majitol                        (PIS)

6. Mohd Khidir Lamsil               (Warisan)

7. Walter Mark Mukis                (STAR)  

 (2020: Mohd Arsad Bistari: BN-UMNO: Maj: 1,685)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan