KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan akan memastikan semua tindakan pembetulan pelaksanaan platform baharu Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) dibuat secara teratur, berdasarkan data dan kepakaran teknikal demi keselamatan rakyat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa memastikan perkhidmatan ambulans terus beroperasi, selain langkah pelarasan dibuat bagi menambah baik aliran kerja panggilan perubatan mengikut keperluan KKM dan model operasi yang terbukti stabil.
Pada masa sama, beliau menegaskan panggilan 999 berfungsi seperti biasa dan orang awam boleh hubungi talian berkenaan pada bila-bila masa.
“Gunakan (panggilan) 999 untuk kecemasan sebenar dan mohon hormati petugas kami atau operator yang kerja tanpa henti, semasa dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem baharu. NG999 ialah sistem kritikal negara,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa NG MERS 999 melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM1.25 bilion untuk tempoh 11 tahun.
“Kos berkenaan bersamaan sekitar RM113 juta setahun, yang merangkumi aspek reka bentuk, pembangunan, pemasangan, pengujian, komisen, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan keseluruhan sistem NG MERS 999 itu.
“Bagi kos operasi setahun untuk aplikasi SaveME999 dan Responder App pula bernilai RM880,000 atau 0.78 peratus. SaveME 999 sudah dibangunkan sejak 2013 dan aplikasi itu adalah tambahan kepada ekosistem NG MERS 999 yang baharu,” katanya.
Dzulkefly berkata satu Jawatankuasa Khas Bersama melibatkan Kementerian Komunikasi dan KKM juga ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan dan kestabilan sistem itu.
NG MERS 999 mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Nov 2025 sebagai kesinambungan sistem MERS 999 yang mula digunakan pada 2007 dan dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan tindak balas kecemasan negara melalui rangkaian komunikasi yang lebih pantas, tepat, moden dan inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial