KINABATANGAN, 23 Nov (Bernama) -- Program Jelajah TVET MARA yang berlangsung di sini berjaya membuka mata belia di kawasan pedalaman mengenai kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Melalui program itu, mereka turut didedahkan mengenai tahap kebolehpasaran graduan institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tinggi sehingga menjadi pilihan utama lepasan sekolah.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran Mohammad Adam Ilham Taip, 18, berkata beliau merancang menyambung pengajian di institusi kemahiran bawah MARA yang menyediakan banyak bantuan kewangan kepada pelajar B40.
“Saya akan memilih bidang TVET selepas tamat tingkatan enam kerana peluang kerjaya yang lebih cerah.
“Menerusi Jelajah TVET MARA seperti ini, kami dapat tahu banyak maklumat tentang kursus yang ditawarkan dan MARA juga menyediakan bantuan kewangan. Sudah tentu, ia sangat membantu,” katanya kepada Bernama pada program Jelajah TVET MARA di sini.
Program Jelajah TVET MARA itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Sementara itu, Mohammad Farhan Nizam Kasran, 18, berkata beliau turut berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan teknologi.
“Saya berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang elektronik dan teknologi komunikasi. Bidang kemahiran lebih terbuka dan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih luas kerana ia fokus kepada amali,” katanya.
Sementara itu, Izah Wati Lanting, 18, berkata program jelajah itu bukan sekadar memberi maklumat, ia turut membantunya membuat keputusan penting tentang masa depan.
“Sebelum ini, saya tidak begitu jelas laluan TVET tetapi apabila melihat sendiri kursus yang ditawarkan, saya rasa lebih yakin untuk memilih bidang kemahiran,” katanya.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial