KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) iaitu sistem pendaftaran rasmi bagi pelarian di negara ini akan mula dilaksanakan pada 1 Jan tahun depan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani risiko keselamatan dan isu data yang tidak teratur selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23.
DPP katanya akan menggantikan sistem pendaftaran sedia ada yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
“Maklumat dan biometrik pelarian akan disimpan dalam sistem DPP. Mereka yang disahkan sebagai pelarian akan diberi satu dokumen pengenalan rasmi ini yang merupakan dokumen tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin tahu status dan mekanisme kerajaan dalam menguruskan pendaftaran serta kebenaran bekerja bagi pelarian di Malaysia.
Shamsul Anuar berkata langkah itu membolehkan kerajaan mempunyai pangkalan data komprehensif dan biometrik sendiri bagi memantau keberadaan serta mengurus golongan pelarian dengan lebih teratur dan berkesan.
Beliau berkata sistem pendaftaran yang dikendalikan sepenuhnya oleh UNHCR secara unilateral tanpa membabitkan agensi kerajaan sebelum ini menimbulkan risiko keselamatan dan menyebabkan kerajaan tidak mempunyai elemen kawalan terhadap individu yang memasuki negara ini.
“Keadaan ini menyebabkan kerajaan tidak ada elemen kawalan terhadap permohonan individu sebagai pelarian, jumlah dan lokasi keberadaan mereka di Malaysia. Ia juga telah membawa kepada kes-kes pendaftaran yang tidak teratur, penyalahgunaan dan pemalsuan dokumen,” katanya.
Shamsul Anuar berkata sistem DPP kini sedang dalam fasa ujian bagi memastikan kestabilan dan keberkesanan sebelum dilancarkan secara rasmi.
“Sekarang ini, KDN (Kementerian Dalam Negeri) sendiri sedang melakukan ujian cuba bagi memastikan sistemnya stabil dan tidak ada masalah waktu penggunaan kelak,” katanya.
Menurutnya maklumat pelarian akan disimpan dalam sistem biometrik kerajaan bagi tujuan pemantauan sehingga pengurusan akhir dilaksana, iaitu penempatan ke negara ketiga, pulang ke negara asal atau deportasi jika melanggar undang-undang Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial