JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

12 Konsesi Lebuh Raya Catat Kerugian Setakat Tahun Lepas - Ahmad Maslan

26/11/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 12 daripada 33 konsesi lebuh raya mencatatkan kerugian disebabkan kekurangan trafik berdasarkan laporan kewangan tahun lepas, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Turut mencatat kerugian ialah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Setiawangsa–Pantai (SPE), Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS), Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Klang (SUKE), Terowong dan Jalan Pengurusan Air Banjir (SMART), Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

“Jadi, sesiapa yang mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu perlu membuat kiraan dengan tepat. Kalau trafik tidak mencukupi, keuntungan tidak dijamin. Jika tidak menguntungkan, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kerugian sekiranya perlu mengambil alih,” katanya menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) mengenai prestasi 33 konsesi lebuh raya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, berhubung jajaran lebuh raya dari Tol Bandar Baharu ke Sungai Petani yang masih belum dilaksanakan, Ahmad Maslan berkata projek naik taraf tersebut telah dikemukakan permohonan tetapi tidak diluluskan.

“Kenapa tidak diluluskan? Biasanya ia mengikut keutamaan. Lebuh raya ini sebahagian cadangan Northern Corridor Highway (NCH). Projek asal dicadang dari Taiping ke Bukit Kayu Hitam, namun didapati tidak berdaya maju.

“Oleh itu, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri mencadangkan jajaran Taiping–Sungai Petani. Setakat ini ia masih dalam proses permohonan cadangan (RFP). Belum dibuka, belum ditutup, kita sedang menunggu,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini RFP untuk jajaran Bukit Kayu Hitam tidak menerima sebarang permohonan, menyebabkan jajaran dipendekkan ke kawasan yang lebih berdaya maju seperti Taiping-Sungai Petani.

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan