JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Komuniti Bugis Tambah Kepelbagaian Budaya Di Sabah

27/11/2025 03:14 PM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 27 Nov (Bernama) -- Mungkin ramai tidak mengetahui Sabah juga memiliki komuniti Bugis yang kukuh, dengan sebahagian besarnya menetap di Tawau, sekali gus menyumbang kepada kepelbagaian budaya Negeri di Bawah Bayu itu.

Pengerusi Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) Tawau Mohd Amin Nasir berkata komuniti Bugis di Tawau kini dianggarkan melebihi 50,000 orang dan terus aktif menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, agama serta pembangunan sosial.

Mengimbau sejarah, Mohd Amin berkata kedatangan orang Bugis ke Tawau hampir sezaman dengan kewujudan bandar itu sendiri.

"Pada 1820, dipercayai sudah ada penduduk di Tawau walaupun belum ramai antaranya masyarakat Tidung, Suluk, Bajau dan juga Bugis memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan Indonesia.

"Keberadaan orang Bugis di Tawau diiktiraf secara rasmi pada 1882 apabila British melantik penghulu pertama daripada suku Bugis, membuktikan mereka telah menetap di sini sejak abad ke-19," katanya kepada Bernama.

Berkongsi antara keistimewaan masyarakat Bugis, beliau berkata kaum itu kuat bekerja, tekun berusaha dan sanggup meneroka semua bidang pekerjaan di samping kaya dengan warisan budaya.

Mengenai makanan popular masyarakat Bugis, beliau berkata antara yang digemari adalah buras iaitu nasi yang dimasak dengan santan sebelum dibalut daun pisang dan direbus selama beberapa jam serta ayam likku atau ayam masak lengkuas selain kuih Barongko.

Pengusaha kuih tradisi Tija Kuba berkata Barongko yang menggunakan pisang sebagai bahan utama dan dibungkus dengan daun pisang mempunyai rasa manis berlemak biasanya dihidangkan sebagai pencuci mulut dalam majlis keramaian atau minum petang.

"Barongko berasal daripada frasa Bugis barangku wadoko yang membawa maksud barangku sendiri yang aku bungkus,” katanya.

Tija berharap generasi muda akan terus mempelajari dan memelihara keaslian kuih tradisi itu yang bukan hanya menjadi sumber pendapatan tetapi juga simbol warisan budaya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKBS Yalah Munur berkata songkok recca merupakan antara identiti penting masyarakat Bugis yang sering dipakai dalam majlis perkahwinan.

"Pada asalnya, songkok ini dihasilkan menggunakan pelepah daun lontar yang banyak terdapat di Sulawesi Selatan, Indonesia terutamanya di daerah Bone. Pemakaiannya bukan sekadar penutup kepala, malah menjadi simbol status pemakai.

"Seiring perkembangan semasa, banyak industri kecil dan sederhana telah menghasilkan songkok unik ini dengan sulaman benang emas atau perak di bahagian tepi dan bawah," katanya.

Dalam bidang kesenian, pemain alat muzik tradisional Jamaluddin Gora berkata Kecapi Bugis yang berbentuk perahu dan diperbuat daripada kayu khas biasanya dimainkan dalam majlis penting seperti perkahwinan untuk mengiringi lagu-lagu Bugis.

Tukang jahit Syakila Mohamed pula berkata  baju bodo merupakan pakaian tradisi wanita Bugis yang dipakai dalam majlis perkahwinan.

"Setiap warna baju bodo melambangkan status pemakai. Misalnya, warna hijau menggambarkan wanita daripada golongan bangsawan dan sering menjadi pilihan utama dalam majlis perkahwinan Bugis," katanya.

Untuk berita terkini mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan