TANAH MERAH, 27 Nov (Bernama) -- Sebanyak 172 pemborong, peruncit dan pembekal di seluruh Kelantan telah dilantik bagi memastikan stok barangan asas mencukupi sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata semua premis terbabit diwajibkan menyimpan 30 peratus stok tambahan bermula November hingga Mac depan, melibatkan 26 jenis barangan asas termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur serta petrol dan diesel.
“Pemilihan premis dibuat berdasarkan lokasinya yang tidak mudah ditenggelami air serta kemampuan menyimpan stok tambahan.
“Langkah ini penting bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman tidak terputus bekalan sekiranya berlaku banjir,” katanya pada Program Kesiapsiagaan Menghadapi Musim Tengkujuh di Jajahan Jedok di sini hari ini.
Azman berkata Kota Bharu mempunyai tujuh peruncit dan lima pemborong manakala Gua Musang melibatkan 12 peruncit serta 15 stesen minyak yang diberi kuota tambahan, dan secara keseluruhan terdapat 250 stesen minyak di Kelantan, dengan setiap premis menerima kuota tambahan yang berbeza mengikut kawasan.
“Bilik gerakan banjir telah diaktifkan di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, beroperasi sehingga 10 malam setiap hari bagi memantau bekalan serta akses jalan raya, selain berkoordinasi dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sepanjang Januari hingga Oktober lepas, KPDN Kelantan melaksanakan lebih 94,208 pemeriksaan premis dan 36,197 pemeriksaan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), dengan 214 tangkapan melibatkan kes penyeludupan petrol, diesel dan minyak masak.
“Nilai keseluruhan sitaan mencecah RM4.62 juta, termasuk 87,646 liter petrol, 35,598 liter diesel dan 42,625 kilogram minyak masak.
“Kebanyakan kes melibatkan penduduk tempatan, dengan kes tertinggi membabitkan penyimpanan petrol dan minyak masak. Pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas sepanjang musim banjir,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial