SUKAN > BERITA

HOKI PIALA SULTAN AZLAN SHAH: BELGIUM BELASAH SPEEDY TIGERS 9-1

27/11/2025 10:08 PM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Pasukan ranking ketiga dunia Belgium membelasah Malaysia 9-1 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah ke-13 di sini hari ini.

Selepas tewas 3-4 kepada India semalam, anak buah Sarjit Singh turun dengan misi berjuang habisan-habisan namun terpaksa akur dengan kehebatan Belgium.

Penyerang prolifik Belgium yang juga pemain terbaik dunia tahun ini Tom Boon membuka tirai jaringan pasukan itu hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-8 sebelum Thomas Crols meledak gol kedua tiga minit kemudian.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara mengatur serangan balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-13 menerusi gol padang Faizal Saari namun dua minit kemudian Thibeau Stockbroekx pula memastikan Belgium terus di depan sebelum tamat suku pertama perlawanan.

Babak kedua menyaksikan Belgium terus menekan kubu pertahanan Malaysia dan berjaya merobek gawang negara apabila Roman Duvekot menjaringkan gol keempat pada minit ke-24.

Alexander Hendrickx dan Tommy Willem kemudian menambah derita Speedy Tigers menerusi pukulan penalti dan pukulan sudut penalti pada minit ke-27 dan 30.

Tom Boon sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-38 apabila pasukan itu sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti dan Victor Foubert terus menghukum kem pertahanan negara apabila meledak gol kelapan pada minit ke-41.

Asakan Belgium tidak berhenti di situ apabila Roman Duvekot melengkapkan hari malang skuad negara menerusi gol kesembilan pada minit ke-54.

Terdahulu, Kanada mengalahkan Korea Selatan 3-2 manakala India pula menundukkan New Zealand juga dengan keputusan 3-2.

Perlawanan terakhir Malaysia pada Sabtu ini bertemu Korea Selatan yang dijadualkan pada 6 petang manakala New Zealand bertemu Belgium (4 petang) dan Kanada menentang India (2 petang).

Sementara itu, ketua jurulatih Sarjit Singh menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pengajaran besar buat pemain, sambil menegaskan pertembungan itu menjadi ukuran tepat tahap semasa skuad Speedy Tigers, sekali gus membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Belgium memang bermain dengan sangat baik selepas aksi menentang Korea Selatan tempoh hari, mereka mula menunjukkan kenapa mereka berada di ranking ketiga dunia,” katanya, sambil menambah aspek disiplin bertahan pasukan lawan juga menjadi contoh terbaik kepada pemain negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan