JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pesawah KADA Rugi Lebih RM2.3 Juta Akibat Banjir

14/12/2025 05:22 PM

KOTA BHARU, 14 Dis (Bernama) -- Pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merekodkan kerugian melebihi RM2.3 juta susulan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri itu baru-baru ini.

Pengerusi KADA Khalid Abdul Samad berkata kerugian itu berpunca daripada kemusnahan tanaman padi membabitkan 269 pesawah di daerah Tumpat, Pasir Puteh dan Bachok berkeluasan 741.78 hektar.

Beliau bagaimanapun berkata hampir keseluruhan kerugian itu telah menerima pampasan melalui Skim Takaful Tanaman Padi berjumlah lebih RM2.2 juta, hasil kempen pendaftaran yang giat dilaksanakan sejak tahun lepas.

“Pampasan diberikan pada kadar RM3,000 bagi setiap hektar tanaman padi yang terjejas dan melebihi tempoh 76 hari, dengan tempoh kelulusan dianggarkan antara 30 hingga 60 hari,” katanya selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025 KADA di sini hari ini.

Khalid berkata kira-kira 90 peratus daripada 7,200 pesawah di bawah seliaan KADA mendaftar Skim Takaful Tanaman Padi bagi melayakkan mereka menerima pampasan sekiranya tanaman terjejas akibat bencana termasuk banjir.

Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi bayaran premium skim berkenaan manakala pesawah hanya perlu mendaftar untuk menikmati manfaat itu.

“Baki pesawah yang belum mendaftar kebanyakannya berdepan masalah dokumentasi tanah,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata KADA memperuntukkan RM700,000 bagi kerja-kerja pembersihan sistem saliran dan pengairan melibatkan 58 kilometer kawasan di bawah seliaan agensi itu.

“Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan risiko dan kesan banjir pada masa hadapan, sekali gus meminimumkan kerosakan tanaman padi sekiranya berlaku gelombang kedua,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penanaman padi musim kedua tahun ini telah bermula pada 1 Dis lepas dan keperluan pembinaan empangan bagi pengurusan lebihan air ketika musim hujan serta kegunaan semasa kemarau.

“Namun, urusan pembinaan empangan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran bukan KADA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan