JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

JKM Siap Siaga Hadapi Peningkatan Mangsa Banjir

14/12/2025 08:02 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap negeri berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya situasi banjir semakin memburuk.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata kehadiran JKM di setiap daerah membolehkan tindakan bantuan dilaksanakan dengan segera sekiranya diperlukan.

“Semua pihak berkaitan telah diminta untuk bersiaga sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilaporkan telah meningkatkan amaran hujan lebat berterusan kepada peringkat jingga bagi beberapa negeri di pantai timur Semenanjung susulan luruan monsun timur laut yang melanda ketika ini hingga 18 Dis.

Dalam pada itu, Nancy berkata setakat 4.30 petang tadi sebanyak lapan PPS beroperasi di lima negeri di seluruh negara, melibatkan 219 mangsa daripada 93 keluarga. 

“JKM telah mengambil tindakan segera termasuk pembukaan PPS, pendaftaran mangsa secara kendiri menerusi sistem MyIBJKM, serta pengagihan bantuan keperluan asas.

“Bekalan bantuan dilaporkan mencukupi bagi menampung keperluan semua mangsa yang ditempatkan di PPS,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan