PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 akan melibatkan peserta yang lebih inklusif dan merangkumi pelbagai kategori, bagi memastikan usaha menembusi sekatan laut Israel terhadap Gaza dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata perancangan bagi misi itu sedang dirancang dan akan diumumkan dalam masa terdekat, memandangkan misi GSF memerlukan strategi yang menyeluruh, terancang dan berkesan bagi memastikan kejayaannya tercapai.
“Hari ini saya bertemu dengan GSF, perbincangan tadi berkaitan dengan pengalaman menganjurkan GSF yang lepas, dan bagaimana mereka merancang untuk break the siege di Gaza.
“Alhamdulillah, sekarang ini mereka juga sedang merancang misi GSF (2.0), ia merupakan misi yang lebih besar, lebih ramai, lebih banyak bot dan apa yang mereka maklumkan tadi, mereka ingin penyertaan yang lebih inklusif merangkumi pelbagai agama, bangsa, selebriti dan pelbagai kategori lapisan masyarakat,” katanya.
Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada dua aktivis antarabangsa iaitu Saif Abu Kesek dan Kleoniki Alexopoulou, serta Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Cinta Gaza Malaysia Nadhir al-Nuri di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan penuh kepada penganjuran misi GSF akan datang, serta berharap objektif misi berkenaan tercapai bagi memastikan segala jenis bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada penduduk Gaza.
“Kita (Malaysia) sedang meneliti apa bentuk kerjasama yang kita boleh lakukan. Secara umumnya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memberikan sokongan penuh kepada misi ini,” katanya.
Zulkifli berkata misi GSF bukan sekadar bertujuan memecahkan kepungan Israel, sebaliknya membawa mesej penting kepada dunia bahawa apa yang berlaku di Gaza memerlukan perhatian serius daripada seluruh komuniti antarabangsa.
“Komuniti dunia perlu melihat sendiri realiti di Gaza, termasuk ketidakadilan, jenayah perang dan tindakan yang bersifat genosid. Mesej ini mesti disampaikan kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Zulkifli berkata selain itu, misi itu juga bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan serta menghantar tenaga pakar seperti doktor, pakar perubatan dan guru bagi membantu serta menyokong usaha pembangunan semula Gaza.
Pada September tahun lepas, GSF membawa ratusan aktivis antarabangsa termasuk 34 sukarelawan Malaysia bersama bantuan kemanusiaan, bagi menembusi sekatan laut Israel dan menyampaikan sokongan kepada penduduk Gaza.
Bagaimanapun, pada 1 Okt, kira-kira 41 kapal misi berkenaan dipintas oleh rejim Zionis sebelum para aktivis ditahan di Penjara Ketziot, Israel, dan seterusnya dihantar pulang ke negara masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial