SUKAN

Para SUKMA: Nahas Jalan Raya Bawa Hikmah Buat Muhammad Firdaus

21/09/2024 02:22 PM

Oleh Nurul Izzati Mansor

KUCHING, 21 Sept (Bernama) -- Detik hitam hampir meragut nyawa akibat nahas jalan raya pada tahun lepas menjadi titik perubahan bagi Muhammad Firdaus Irwandin untuk menyertai kontinjen para renang Sarawak seterusnya mewakili negeri ini di temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024. 

Bercakap kepada Bernama, atlet berusia 18 tahun itu berkongsi peristiwa malang pada Mac tahun lepas yang telah merubah hidupnya ‘360 darjah’ apabila kehilangan tangan kanan dan kedua tapak kaki.

Lebih menyayat hati, kemalangan itu berlaku sehari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-17 sekali gus menyebabkan beliau koma selama 45 hari dan sedar kembali pada Aidilfitri 2023. 

“Sedar daripada koma saya dapati tangan dan kaki sudah tiada, ketika itu saya rasa tidak mahu teruskan hidup lagi sebab dugaan ini amat berat namun ibu bapa menjadi penguat semangat dan memujuk saya untuk reda kerana pasti ada hikmah di sebalik ujian ini. 

“Saya rasa inilah hikmahnya, saya jadi atlet renang untuk kontinjen Sarawak bagi tahun ini, selepas jurulatih Mohammad Ali Seman ajak saya sertai skuad renang Sarawak,” katanya ketika ditemui Bernama pada sesi klasifikasi atlet renang di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di sini hari ini. 

Muhammad Firdaus yang sebelum ini bercita-cita menjadi askar berkata beliau mendambakan untuk menggondol tiga pingat emas pada penampilan sulung di temasya sukan di Bumi Kenyalang itu. 

Keyakinan itu kian membara selepas meraih tujuh pingat pada Kejohanan Sirkit Para Renang yang berlangsung di Kuala Lumpur Julai lepas. 

“Sebelum ini, beraksi kali pertama dalam 11 acara saya bawa pulang tujuh pingat iaitu satu pingat emas, empat pingat perak dan dua gangsa,” katanya. 

Muhammad Firdaus bakal beraksi bagi kategori S9 (kecacatan fizikal) acara 400 meter (m) gaya bebas dan 100m kuak dada pada Isnin dan 200m rampaian individu Rabu ini. 

Atlet ini dijangka berdepan cabaran sengit daripada perenang Selangor dan Sabah dalam aksinya untuk memburu pingat emas pada temasya Para SUKMA 2024. 

-- BERNAMA-


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan