JENAYAH & MAHKAMAH

Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah Abai Bayi 12 Bulan Hingga Cedera Di Taska

03/10/2024 01:50 PM

MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- Seorang pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan hingga menyebabkan seorang bayi lelaki mengalami kecederaan, tahun lepas.

Siti Salwa Rezuan, 35, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu pengasuh kepada seorang bayi lelaki berusia satu tahun itu didakwa telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi. 

Perbuatan itu dilakukan di Taska Permata Riang Ria, Taman Pertam Jaya, Semabok di sini pada 2.30 petang, 27 Okt tahun lepas. 

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Mohamad Nazri Abd Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pengasuh manakala suaminya hanya operator di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,500 serta perlu menanggung keluarga.  

Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Mahkamah turut mengarahkan wanita itu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi dan mangsa sepanjang perbicaraan berlangsung.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan didakwa diabaikan menyebabkan bayi itu berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri sehingga terpaksa ditahan di zon merah Hospital Melaka kerana mengalami pendarahan di kepala. 

Kejadian disedari oleh bapa bayi tersebut selepas pemilik taska berkenaan menghubungi dan memaklumkan mata anaknya itu tiba-tiba menunjukkan tanda seperti diserang sawan ketika mandi. 

Pemilik taska mendakwa kecederaan itu berlaku selepas bayi itu terjatuh dari kerusi bouncer.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan