AM

Kegiatan Kuari Di HSK Segari Melintang Tidak Jejas Penduduk Tempatan

03/10/2024 04:44 PM

GOPENG, 3 Okt (Bernama) -- Keputusan kerajaan negeri mewartakan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang di Lumut bagi tujuan aktiviti pengkuarian tidak akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar kawasan berkenaan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata ini kerana keputusan pewartaan HSK itu dirujuk terlebih dahulu dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk diluluskan.

"Lazimnya kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk menyahwarta kawasan hutan terlebih dahulu. Jika tiada bantahan daripada mana-mana pihak (berkaitan) maka ia akan diluluskan.

"Dalam proses kita bangunkan negeri kita tak ada pilihan melainkan terpaksa mengorbankan beberapa perkara tetapi pada masa yang sama kita menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini hari ini.

Pada 24 Sept lepas, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar meminta kerajaan negeri Perak memperhalusi semula pemansuhan pewartaan HSK Segari Melintang dekat sini seluas lebih 500 hektar bagi tujuan aktiviti kuari.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata pemansuhan HSK Segari Melintang itu melibatkan beberapa kompartmen hutan bukit pantai yang masih terdapat di pesisiran pantai Teluk Mengkudu. 

Meor Razak berkata sekiranya aktiviti kuari itu diluluskan, ia sama sekali bercanggah dengan syor Jawatankuasa Siasatan Tempatan, Draf Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 yang diadakan pada Mei 2016 iaitu jawatankuasa bersetuju dengan bantahan pembantah dan menolak permohonan yang baharu bagi mengekalkan kawasan hutan sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan