AM

Perak Tubuh Makmal Analisis Mineral Pertama Negara

03/10/2024 02:28 PM

GOPENG, 3 Okt (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak menubuhkan makmal analisis mineral Terra Mineral Lab (TML) Sdn Bhd dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di Persiaran Teknologi Gopeng di sini sejak September lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata makmal komersial yang pertama seumpamanya di Malaysia itu telah menelan kos sebanyak RM12 juta dan ia bukan sekadar sebuah kemudahan biasa, namun merupakan mercu tanda komitmen kerajaan negeri dalam memajukan industri mineral, khususnya dalam bidang perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

"Dilengkapi dengan teknologi bertaraf dunia, TML berupaya menganalisis, mengenal pasti, dan menentusahkan kandungan mineral, khususnya NR-REE dengan ketepatan yang tinggi. 

"Kini TML sedang dalam proses mendapatkan akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia sebagai langkah pertama yang akan mengiktirafnya sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian makmal berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata TML dikendalikan 15 pakar tempatan termasuk ahli kimia kanan, ahli kimia, dan penolong ahli kimia selain turut berkolaborasi dengan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan institut penyelidikan terkemuka tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Sains Malaysia (USM).

"Inisiatif ini merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030. Dengan adanya TML dan CoE, Perak bakal menyaksikan lonjakan besar dalam sektor mineral, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan