AM

Sarawak Rancang Tubuh Entiti Disatukan Urus Aset, Pelaburan Negeri - Abang Johari

03/10/2024 05:51 PM

KUCHING, 3 Okt (Bernama) -- Sarawak sedang membuat pertimbangan bagi penubuhan sebuah entiti disatukan untuk pengurusan aset dan pelaburan bagi meningkatkan hasil kerajaan negeri dalam jangka panjang, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu beliau telah mengarahkan pakar untuk menjalankan kajian bagi kebolehlaksanaan entiti yang menyamai peranan di negara maju lain seperti Temasek Holdings Singapura dan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC).

Abang Johari berkata semua aset kerajaan yang dipegang oleh pelbagai badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan disatukan di bawah entiti sama serta dikendalikan seperti perniagaan lain.

“Model pengurusan aset dan pelaburan dengan keanggotaan ahli sebagai pemegang saham, akan menyediakan persekitaran kondusif bagi pergerakan profesional dalam kalangan anggota dengan prinsip ‘lantik dan pecat’ bagi memastikan badan itu diurus dengan baik.

“Kaedah sedemikian akan membolehkan aspek imbuhan ditetapkan pada paras lebih tinggi yang menyamai kalangan mereka di negara-negara maju,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak bersempena majlis penutup Pemukiman Satu Pasukan Perkhidmatan Awam Sarawak selama tiga hari di Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini.

Mengulas selanjutnya, Abang Johari berkata pada masa ini, unit pelaburan Sarawak dikendalikan oleh Sarawak Incorporated manakala Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak telah beroperasi dengan suntikan modal awal RM8 bilion daripada kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan