AM

Asas Ekonomi Yang Utuh Perlu Untuk Depani Cabaran, Asakan Ketidaktentuan Global - PM

03/10/2024 10:33 PM

Daripada Mohd Haikal Mohd Isa

ISLAMABAD, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keperluan bagi setiap negara memiliki asas ekonomi yang utuh dalam mendepani cabaran dan asakan ketidaktentuan global.

Bercakap di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) di sini hari ini, beliau berkata reformasi ekonomi perlu dimulakan meskipun langkah itu tidak popular.

“… kita tidak seharusnya lupa bahawa asas ekonomi kita perlu kekal teguh dan utuh dalam mendepani cabaran serta asakan ketidaktentuan global dan ia perlu merangkumi pembaharuan struktur yang diperlukan meskipun langkah ini tidak popular pada mulanya.

“Meskipun ubat yang baik dan berkesan mungkin pahit serta sukar ditelan, kesembuhan dan hasil yang diperoleh adalah berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Echoes of Iqbal: Charting A Future of Renewal and Progress di universiti berkenaan.

Perdana Menteri berkata hubungan Malaysia dan Pakistan didasari oleh sikap saling menghormati dan berkongsi aspirasi.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan kedua-dua negara bertambah erat bukan hanya melalui perdagangan dan diplomasi tetapi juga ikatan silaturahim yang menyatukan rakyat kita,” katanya.

Anwar berkata perdagangan antara Malaysia dan Pakistan akan terus berkembang dan kini mencecah hampir USD$2 bilion setahun yang dipacu oleh industri utama seperti minyak sawit dan tekstil.

Beliau berkata meskipun begitu, masih terdapat ruang yang besar untuk kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam industri halal dan kewangan Islam.

“Kita boleh menjadi peneraju instrumen kewangan yang inovatif, memupuk penglibatan lebih besar dalam pelaburan patuh syariah dan meletakkan kewangan Islam sebagai alternatif beretika di peringkat global.

“Kesemua usaha ini mesti seiring dengan inisiatif dalam dasar perubahan iklim, perlindungan alam sekitar dan keyakinan menyeluruh untuk menjadikan planet Bumi kita sebagai tempat yang lebih baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia dan Pakistan juga perlu memperluas usaha memerangi ekstremisme radikal dan serangan keganasan sama ada melalui perkongsian risikan, kerjasama strategik atau inisiatif bersama dalam menentang keganasan.

Beliau berkata kedua-dua negara harus menggandakan usaha bagi memerangi ancaman itu di peringkat akar umbi.

“Tugas di hadapan kita memerlukan pendekatan yang bersatu melangkaui kerjasama ketenteraan dan perisikan untuk melibatkan pembaharuan pendidikan serta sosial yang mampu menangani punca radikalisme serta ekstremisme,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang dalam rangka lawatan negara tiga hari ke Pakistan, telah menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada NUST.

NUST adalah universiti penyelidikan awam berbilang kampus di seluruh Pakistan dengan kampus utama di Islamabad dan menyediakan pendidikan tinggi kepada lebih 10,000 mahasiswa serta pelajar lepasan ijazah.

Ini adalah lawatan sulung Anwar, yang tiba malam tadi, ke Pakistan selepas mengangkat sumpah jawatan pada November 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan