JENAYAH & MAHKAMAH

Hampir 9,000 Notis Dikeluarkan Dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan

04/10/2024 03:25 PM

KAJANG, 4 Okt (Bernama) -- Hampir 9,000 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan susulan pemeriksaan terhadap 32,178 kenderaan perdagangan dan lain-lain kenderaan, dalam Op Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara selama tiga hari sejak Selasa lepas. 

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi itu dilaksanakan bagi mengesan kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan terutamanya melebihi muatan susulan kes kemalangan maut membabitkan lori kebelakangan ini.

Beliau berkata Op Khas juga diadakan untuk memastikan pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan ditetapkan antaranya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Kaedah Kaedah di bawahnya, dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

"Dalam tempoh tiga hari ini, JPJ telah menjalankan pemeriksaan terhadap 12,282 kenderaan barangan, 1,274 (perkhidmatan awam) dan lain-lain kenderaan (18,622). Paling banyak kesalahan direkodkan ialah berkaitan notis JPJ (P) 22 atau teknikal (6,430), arah periksa Seksyen 61 (1) (990 notis).

“Selain itu, sebanyak 339 notis turut dikeluarkan bagi arah timbang (Seksyen 63(3) untuk kenderaan melebihi muatan dan 16 kenderaan turut disita," katanya pada sidang media Op Khas Kenderaan di Batu Lima, Jalan Bangi Lama, Kajang hari ini. 

Aedy Fadly berkata dalam operasi yang diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu, sebanyak 38 pemandu telah diambil saringan air kencing dengan tujuh daripada mereka didapati positif dadah. 

“JPJ ingin menegaskan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi semua peraturan ditetapkan. 

"Kita ingin memaklumkan bahawa JPJ sentiasa memantau bukan hanya di jalan utama, namun di jalan persekutuan juga dan hari ini di jalan kecil seperti Jalan Bangi Lama yang sebelum ini tidak pernah dilakukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan