EKONOMI

Harga MSM Diunjur Meningkat 6.3 Peratus Pada 2025, Purata RM4,250 Satu Tan - AmInvest

05/11/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengukuh pada 2025, dengan purata RM4,250 satu tan, mewakili peningkatan 6.3 peratus tahun ke tahun, menurut AmInvestment Bank Bhd (AmInvest).

 AmInvest dalam nota hari ini mengaitkan harga yang lebih tinggi itu bagi memenuhi kekangan dalam minyak sawit, minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari.

“Kami menjangkakan harga purata MSM akan melebihi RM4,500 satu tan pada separuh pertama 2025  sebelum menyusut kepada RM4,000 satu tan pada separuh kedua 2025,” kata bank berkenaan.

Bank itu berpendapat kekurangan bekalan minyak sawit, minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi dijangka mendorong harga MSM yang lebih tinggi, dan maklumat daripada Oil World memaklumkan ketiga-tiga minyak berkenaan menyumbang 52.3 peratus penggunaan minyak dan lemak global.

AmInvest juga mengunjurkan Kesatuan Eropah (EU) akan meningkatkan pembelian sebelum Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR) berkuat kuasa pada akhir 2025, yang sewajarnya mengekang penurunan mendadak harga MSM pada separuh kedua 2025.

Bank itu turut mengunjurkan pengeluaran MSM Malaysia akan menyusut kepada 18.8 juta tan pada 2025 berbanding 19 juta tan pada 2024, berdasarkan hasil minyak yang lebih rendah iaitu 3.3 tan setiap hektar.

“Kami menjangka pengeluaran MSM Malaysia akan sederhana pada 2025 berikutan hasil tuaian lebih tinggi pada 2024 yang didorong cuaca yang sesuai dan peningkatan produktiviti pekerja,” katanya.

AmInvest  turut menekankan mengenai potensi kekurangan tenaga buruh pada 2025 berikutan moratorium pengambilan pekerja asing oleh kerajaan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia masih belum mengumumkan kuota buruh baharu. Bagaimanapun, kami yakin kekurangan buruh mungkin tidak seburuk seperti pada 2021/2022 kerana beberapa syarikat telah mengambil lebih ramai pekerja berbanding yang diperlukan,” katanya.

Bank itu telah menaikkan unjuran sektor perladangan kepada “saranan wajaran tinggi” daripada “neutral” dengan KL Kepong sebagai pilihan utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan