AM

Kadar OTP Malaysia Airlines Naik Lebih 80 Peratus Pada Oktober 2024

11/11/2024 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kadar prestasi tepat masa (OTP) bagi syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah meningkat lebih 80 peratus pada Oktober 2024, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata peningkatan tersebut adalah susulan pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangannya pada hujung Ogos yang lalu.

“Sejak pengumuman MAB untuk mengurangkan rangkaian penerbangan mereka pada hujung Ogos yang lalu, tindakan yang diambil itu telah menunjukkan hasil yang positif terhadap OTP mereka.

“OTP MAB telah meningkat daripada 58.2 peratus pada Ogos 2024 kepada lebih 80 peratus pada Oktober 2024,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkenaan langkah-langkah yang diambil MOT bagi mengatasi semua masalah yang dihadapi MAB sejak kebelakangan ini.

Hasbi turut berkata MAB juga telah melaksanakan proses perolehan pesawat baharu sebagai salah satu strategi meningkatkan keyakinan penumpang. 

“Langkah tersebut akan memastikan ketersediaan pesawat yang mencukupi untuk memenuhi keperluan penerbangan yang telah dijadualkan,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata syarikat penerbangan berkenaan telah menyediakan pelan mitigasi bagi mengenal pasti tindakan penambahbaikan terhadap hasil siasatan mengejut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Pelan tersebut adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat,” tambah beliau.

CAAM telah menjalankan siasatan dan audit mengejut ke atas MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan pesawat-pesawat MAB pada 24 hingga 28 Jun, 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan