EKONOMI

Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan Dijangka Dibentang Tahun Depan - MOF

14/11/2024 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) bagi meningkatkan ketelusan dalam proses perolehan kerajaan, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Sejajar komitmen menjadikan RUU PK sebagai reformasi institusi, Kementerian Kewangan berhasrat membentangkan dokumen itu di Parlimen pada tahun depan.

Kementerian berkata penggubalan itu bertujuan mewujudkan satu bentuk perundangan bagi mengawal selia proses perolehan kerajaan, memperincikan kuasa-kuasa pihak berkepentingan di bawah Akta serta mewujudkan mekanisme semak dan imbang demi memastikan tata kelola baik serta memenuhi amalan terbaik antarabangsa.

“Kerajaan juga mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak untuk memastikan RUU PK yang disediakan ini memenuhi prinsip dan tata kelola perolehan,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai cadangan penggubalan RUU PK, aspek kawalan merangkumi projek mega dan sama ada maklumat perolehan tertentu dapat diakses oleh orang awam.

Kementerian Kewangan berkata dengan mengambil kira kompleksiti penggubalan RUU PK, beberapa sesi libat urus sedang dan akan diadakan bersama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, badan berkanun dan agensi-agensi lain berkaitan.

Dalam perkembangan lain, kementerian berkata pembiayaan Skim Pembiayaan Ikhtiar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia yang telah digunakan berjumlah RM2.03 bilion atau 78 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2024.

Jumlah itu memberi manfaat kepada 230,921 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Sebanyak RM497.2 juta diperuntukkan bagi Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) dengan RM459.8 juta atau 92.47 peratus dibelanjakan sehingga 31 Okt, 2024 yang memberi manfaat kepada 59,054 penerima,” katanya.

Bagi Program Rebat Bil Elektrik RM40 pula, kementerian berkata sebanyak RM55 juta telah diluluskan di bawah Belanjawan 2024.

Menurutnya, setakat 31 Okt, 2024, jumlah perbelanjaan program itu mencecah RM22.78 juta atau 41 peratus daripada peruntukan bagi 2024 yang memberi manfaat kepada 64,764 isi rumah dalam kalangan miskin tegar.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai peratus peruntukan yang telah dibelanjakan masing-masing bagi program Skim Pembiayaan Ikhtiar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat dan Program Rebat Bil Elektrik untuk golongan miskin tegar.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan