EKONOMI

Mega Fortris Akan Kembangkan Operasi Di UK, Tingkatkan Kapasiti 200 Juta Unit

11/11/2024 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Mega Fortris Bhd dengan kapasiti tahunan semasa kira-kira 570 juta unit di Malaysia, merancang untuk pengembangan seterusnya melalui kemudahan pengeluaran baharu di United Kingdom.

Ketua Pegawai Operasi Jason Francis White berkata syarikat itu menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti sebanyak 200 juta unit, sambil menambah pengembangan kapasiti bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan.

“Kami boleh meningkatkan kapasiti dengan pantas dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu dari 30 hari hingga 100 hari.

"Kami boleh meningkatkan kapasiti dengan ketara melalui pelaksanaan teknologi acuan baharu serta dengan menggunakan pengeluar peralatan asal subkontrak yang telah disahkan," kata White pada sidang akhbar di majlis penyenaraian syarikat itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mega Fortris Datuk Adrian Ng Meng Poh berkata sokongan jangka panjang syarikat untuk operasinya di Amerika Syarikat (AS), telah berjaya mengharungi cukai dan peraturan yang pelbagai di bawah bidang kuasa di AS dan Eropah.

Beliau menyatakan walaupun terdapat kenaikan tarif sebelum ini oleh bekas Presiden AS Donald Trump, yang mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus ke atas semua import dan tambahan 60 peratus hingga 100 peratus ke atas import China, syarikat itu melihat ini sebagai cabaran yang boleh diuruskan.

Ng berkata Mega Fortris melihat kenaikan tarif sebagai "perniagaan seperti biasa" dan menjangkakan kesan minimum, sambil menambah syarikat akan bertindak balas melalui pendekatan pelbagai serampang.

“Jika perlu, kami akan menaikkan harga jualan purata kami.

"Selain itu, kami merancang untuk mengasingkan operasi, dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan kemudahan di AS yang akan membantu mengurangkan kesan sebarang tarif pada masa depan," tambahnya.

Mega Fortris terlibat dalam pegangan pelaburan, serta dalam reka bentuk, pembuatan dan perdagangan kedap keselamatan dan produk-produk berkaitan.

Pada 5 petang, saham syarikat it ditutup rendah turun 1.5 sen kepada 65.5 sen, dengan 63.72 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan