EKONOMI

Pelaburan Berterusan Projek Infrastruktur Kukuhkan Malaysia Sebagai Hab Perdagangan

13/11/2024 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pelaburan berterusan dalam projek pembangunan infrastruktur membolehkan Malaysia mengukuhkan kendudukan sebagai hab perdagangan dan pelaburan serantau serta meningkatkan daya saing di peringkat global, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata kerajaan terus komited dalam melaksanakan projek pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan dan lapangan terbang ke arah mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lima hingga enam peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya ketersediaan infrastruktur pengangkutan yang baik akan membolehkan pergerakan barangan dan manusia berjalan lancar serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya langkah ini sekali gus menyokong dan mempercepat aktiviti ekonomi negara dengan lebih berkesan termasuk pelancongan, perjalanan import dan eksport barangan.

“Bagaimanapun, agihan adalah terhad, tertakluk kepada bajet dan keupayaan kewangan kerajaan termasuk faktor lain seperti kemampanan, kesegeraan, tahap kritikal, keperluan keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang turut diambil kira dalam membangunkan projek infrastruktur,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia anak Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu mengenai pelan pembangunan infrastruktur ekonomi utama bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing Malaysia di peringkat global.

Hanifah berkata selain itu, pelan pembangunan infrastruktur berkenaan turut memberi manfaat kepada kawasan kurang membangun seperti luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui peningkatan pembangunan infrastruktur asas, peningkatan ketersambungan mobiliti dan digital serta mengoptimumkan guna tanah untuk ekonomi luar bandar.

“Antara indikator yang ditetapkan bagi Sabah dan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-12 adalah penetapan 98 peratus sasaran liputan akses kepada air bersih dan selamat serta penetapan 99 peratus sasaran liputan akses kepada elektrik.

“Indikator lain termasuk 700 kilometer jalan luar bandar dibina dan dinaik taraf, tapak baharu untuk pembangunan infrastruktur digital dan bilangan ‘point of presence’ untuk ketersambungan Internet di sekolah luar bandar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan