DUNIA

Bursa Malaysia Bercampur-campur Pada Tengah Hari

13/11/2024 02:22 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari ini, disokong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran prestasi yang lebih lemah di pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.02 mata kepada 1,610.45 daripada 1,608.43 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.18 mata lebh tinggi kepada 1,608.61 dan bergerak antara 1,602.71 dan 1,610.61 pada sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 552 berbanding 328 manakala 444 kaunter tidak berubah, 1,130 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.79 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran masih dalam mod penyatuan dengan beberapa aktiviti belian semasa harga murah selepas penurunan baru-baru ini.

"Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,610-1,620," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kaunter pembinaan, hartanah dan bahan binaan terpilih dijangka mendapat momentum menjelang pengumuman keputusan pendapatan mereka.

Melangkah ke depan, firma broker saham itu percaya peserta pasaran akan memantau dengan teliti petunjuk ekonomi utama di Amerika Syarikat termasuk indeks harga pengguna, indeks harga pengeluar, jualan runcit dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2024 Malaysia.

Antara saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd jatuh enam sen kepada RM10.42, CIMB Group menambah empat sen kepada RM8.24, Tenaga Nasional meningkat 28 sen kepada RM14.38 dan IHH Healthcare melonjak tiga sen kepada RM7.22 manakala Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.44.

Bagi kaunter aktif, Life Water yang baru disenaraikan menokok 26.5 sen kepada 91.5 sen dan 3REN tidak berubah pada 41 sen manakala Mpire Global jatuh 0.5 sen kepada 21 sen, Johor Plantations Group susut 15 sen kepada RM1.30 dan Mega Fortis merosot empat sen kepada 59 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 16.39 mata kepada 12,164.01, Indeks FBM Emas melonjak 15.35 mata kepada 12,195.40, Indeks FBMT 100 meningkat 15.13 mata kepada 11,901.03 dan Indeks FBM 70 menokok 23.43 mata kepada 17,819.96 manakala FBM ACE menguncup 13.70 mata kepada 5,121.05.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.16 mata kepada 168.74, Indeks Tenaga merosot 4.7 mata kepada 820.26, Indeks Perladangan jatuh 118.32 mata kepada 7,761.64 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 19.99 mata kepada 19,164.31.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan