EKONOMI

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Susulan Minat Baharu Terhadap Saham Wajaran Tinggi Terpilih

13/11/2024 07:40 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia tidak meneruskan penyusutan sebelumnya apabila ditutup tinggi hari ini berikutan minat baharu terhadap saham utiliti serta produk dan perkhidmatan industri dalam keadaan prestasi bercampur-campur oleh bursa serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.07 mata untuk ditutup pada 1,611.50 berbanding 1,608.43 semasa ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka 0.18 mata lebih tinggi kepada 1,608.61, bergerak antara paras 1,602.71 hingga 1,611.54 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 565 berbanding 435 manakala 514 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.82 bilion unit bernilai RM2.22 bilion berbanding 2.99 bilion unit bernilai RM2.54 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata indeks utiliti meneraju indeks sektoral Bursa Malaysia hari ini, mencerminkan keyakinan dan potensi yang meningkat dalam industri berkenaan.

Ia susulan firma tenaga tempatan baru-baru ini dilaporkan menerima kelulusan untuk beroperasi sebagai pengeluar tenaga elektrik, membolehkannya menjual tenaga daripada kemudahan 29.99-megawatt yang dirancang di Kedah.

"Ini sejajar dengan peralihan sektor itu ke arah tenaga boleh baharu dan mengukuhkan kelebihan daya saing syarikat, yang telah memberi kesan positif kepada saham lain dalam sektor utiliti," katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata pergerakan pasaran lebih luas kekal sederhana hari ini berikutan Wall Street reda seketika selepas peningkatan selama seminggu.

Beliau berpendapat pada masa ini pelabur sedang menunggu data inflasi utama yang dijadual dikeluarkan lewat hari ini.

“Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) dijangka menarik perhatian selepas data September menunjukkan sedikit peningkatan.

"Penggiat pasaran turut memantau dengan teliti pengumuman mengenai pelantikan yang akan datang dalam kabinet Donald Trump," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.47, Tenaga Nasional meningkat 30 sen kepada RM14.40, CIMB Group tidak berubah pada RM8.20 manakala Maybank rendah enam sen kepada RM10.42 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM7.17.

Antara saham aktif, Life Water yang baru disenaraikan naik 29 sen kepada 94 sen, 3REN tidak berubah pada 41 sen manakala Mpire Global rendah setengah sen kepada 21 sen, Johor Plantations merosot 20 sen kepada RM1.25 dan Mega Fortris menyusut empat sen kepada 59 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah naik 16.89 mata kepada 12,164.52, Indeks FBM Emas menokok 25.66 mata kepada 12,205.71, Indeks FBMT 100 menokok 24.93 mata kepada 11,910.84, Indeks FBM 70 meningkat 45.74 mata kepada 17,842.27 dan Indeks FBM ACE naik 9.74 mata kepada 5,141.61.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 3.40 mata kepada 821.56, Indeks Perladangan merosot 159.80 mata kepada 7,720.16, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 47.29 mata kepada 19,191.62 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.34 mata kepada 169.24.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.43 bilion unit bernilai RM1.95 bilion berbanding 1.45 bilion unit bernilai RM2.25 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.01 bilion unit bernilai RM114.69 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM128.82 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 384.56 juta unit bernilai RM148.83 juta daripada 438.04 juta unit bernilai RM156.28 juta pada Selasa.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 503.73 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (265.34 juta),pembinaan (71.89 juta), teknologi (122.75 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (58.50 juta), hartanah (135.74 juta), perladangan (101.64 juta), REIT (16.08 juta), dana tertutup (39,800), tenaga (44.17 juta), penjagaan kesihatan (41.07 juta), telekomunikasi dan media (21.58 juta), pengangkutan dan logistik (23.41 juta), utiliti (30.30 juta), dan amanah perniagaan (71,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan