EKONOMI

Pengukuhan Ekonomi Suku-3 Letak Malaysia Di Landasan Pertumbuhan 4.8-5.3 Peratus Pada 2024

15/11/2024 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi kukuh ekonomi Malaysia pada Suku Ketiga (S3) 2024 mencerminkan keyakinan perniagaan dan juga pengguna terhadap ekonomi Malaysia dan pengurusan ekonomi kerajaan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku tersebut didorong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pemulihan berterusan prestasi sektor luar negeri.

Kadar pertumbuhan suku ketiga itu seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dilaporkan baru-baru ini.

Menurut kementerian itu, prestasi menggalakkan pada suku tersebuti telah mencambah kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024 kepada 5.2 peratus berbanding 3.8 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Ini meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk menggapai pertumbuhan berdasarkan ambang unjuran rasmi Kerajaan sebanyak 4.8 peratus hingga 5.3 peratus. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata meski dunia masih penuh dengan kegawatan dan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kian kukuh saban masa.  

“Malaysia kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan, apakala kita giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tatakelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila Kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol,” kata beliau.

Beliau berkata Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang.

Anwar berkata kerangka Ekonomi MADANI telah membina landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.

“Kerajaan yakin terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh keberantakan ini. Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara-negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat,” kata beliau.

Beliau juga berkata ikhtiar Kerajaan untuk mengukuh serta memperbaharui kerjasama dua hala dan pelbagai hala sambil mengekalkan kedudukan berkecuali bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM421 bilion bakal memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan hidup rakyat.

Kerajaan telah mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5 peratus pada 2023 kepada 4.3 peratus tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8 peratus pada 2025.

“Kerajaan kekal berikhtiar untuk memastikan pelaksanaan langkah-langkah serta inisiatif-inisiatif pragmatik bagi mengukuhkan asas ekonomi negara, agar Malaysia berpijak pada landasan kukuh untuk bertahan daripada tantangan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi,” kata kementerian itu.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan