EKONOMI

Swift Energy Meterai Perjanjian Pengunderaitan Untuk Penerbitan IPO Di Pasaran ACE

18/11/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Swift Energy Technology Bhd telah menandatangani perjanjian pengunderaitan dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

Pembekal sistem kuasa dan automasi industri itu dalam satu kenyataan hari ini berkata IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 250.20 juta saham biasa baharu bersama tawaran untuk penjualan 50.04 juta saham biasa sedia ada.

“Daripada jumlah 250.20 juta saham, 50.04 juta saham akan tersedia kepada rakyat Malaysia melalui undian dan 50.04 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja Swift Energy Group yang layak di bawah peruntukan borang merah jambu.

“Sementara itu, 125.10 juta saham diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)bmanakala baki 25.02 juta saham akan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih,” kata Swift Energy. .

M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 100.08 juta saham iaitu bahagian disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia melalui pengundian dan untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja Swift Energy Group yang layak menerusi peruntukan borang merah jambu.

Swift Energy merancang untuk menggunakan hasil IPO untuk pengembangan kemudahan fabrikasi, penyimpanan, pejabat serta pusat penyelidikan dan pembangunan baharu dengan menambah aras mezzanine dan membina bangunan tiga tingkat baharu, ia akan meningkatkan ruang operasinya, menampung peningkatan pengeluaran dan kapasiti projek.

“Selain itu, Swift Energy juga akan melabur dalam mesin, peralatan dan perisian untuk meningkatkan kapasiti, kecekapan dan produktiviti kumpulan serta mengembangkan perniagaannya di Indonesia dengan menubuhkan anak syarikat dengan pejabat di Jakarta.

“ Penubuhan anak syarikat itu bertujuan memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan tempatannya, mengukuhkannya. kehadiran pasaran dan menyelaraskan permit projek serta sokongan teknikal untuk pemasangan sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan