EKONOMI

Bimbingan Kerajaan Bantu Apam Balik Kuhot Berkembang Daripada Perniagaan Jalanan

23/11/2024 05:07 PM

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Siapa sangka selepas 28 tahun bertapak sebagai perniagaan jalanan, jenama Apam Balik Kuhot kini berjaya berkembang menerusi 18 cawangan termasuk kiosk dengan sokongan kerjasama rakan niaga dan bimbingan kerajaan.

Lebih membanggakan lagi, jenama itu sedang dalam proses mendapatkan lesen francais.

Berkongsi perjalanan perniagaan makanan kegemaran ramai itu kepada Bernama, Pengarahnya Abdul Aziz berkata perniagaan itu telah dimulakan oleh bapanya, Ahmad Ismail di pasar malam Ipoh, Perak pada awal 1990a-n.

Beliau berkata daripada apam balik biasa yang menggabungkan kacang tanah, jagung, gula dan tepung, perniagaan itu dikembangkan sejak 2017 dengan menu apam balik pelbagai perisa yang mula dijual di kiosk-kiosk.

 Perniagaan itu turut dibantu oleh Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) melalui program Business In Transformation (BIT).

“Apam Balik Kuhot juga sedang mengambil langkah untuk memasuki pasaran pusat beli belah.

“Di samping itu, kami juga bakal mendapatkan lesen francais hujung 2024 dengan sokongan Perbadanan Nasional Bhd di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya kepada Bernama di ruang pameran usahawan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di sini, hari ini.

Selain itu, Abdul Aziz berkata Kuhot juga merancang untuk menyokong asnaf menerusi usaha membangunkan perniagaan dan membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Seramai 86 usahawan terlibat Program 2TM yang bermula semalam sehingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan