EKONOMI

TMK Chemical Sasar Raih RM385 Juta Menerusi IPO

25/11/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pengeluar bahan kimia tidak organik, TMK Chemical Bhd (TMK Chemical) menyasarkan untuk meraih RM385 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bersempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

IPO itu membabitkan terbitan awam 220 juta saham baharu pada harga RM1.75 sesaham dan ia tidak melibatkan sebarang tawaran penjualan saham.

Penyenaraian itu dijadualkan pada 12 Dis, 2024.

TMK Chemical dalam kenyataan hari ini berkata ia memperuntukkan 23.4 peratus atau RM90.2 juta daripada hasil untuk menaik taraf Loji Banting 1 manakala 12.9 peratus atau RM49.5 juta akan digunakan untuk membiayai kos membina kemudahan baharu.

“Baki 25.7 peratus (RM99.1 juta) diperuntukkan untuk projek pengambilalihan yang sudah dikenal pasti dan 20.6 peratus (RM79.4 juta) pula bagi modal kerja.

“Selain itu, 13.0 peratus (RM50 juta) untuk pembayaran semula pinjaman dan baki hasil IPO iaitu 4.4 peratus (RM16.8 juta) akan digunakan untuk membiayai kos IPO serta perbelanjaan berkaitan penyenaraian,” katanya.

Menurut TMK Chemical, ia berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan berjumlah 1.0 bilion saham dan harga saham RM1.75, permodalan saham berjumlah RM1.75 bilion.

Katanya syarikat turut merancang untuk mengagihkan kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai sebagai dividen tahunan kepada pemegang saham.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan TMK Chemical Wong Kin Wah berkata keputusan syarikat untuk meneruskan IPO didorong oleh visi masa depan dengan jangkaan wujudnya peluang dalam sektor berkenaan dan mereka komited untuk merebut peluang itu.

“Sejak lebih 35 tahun lepas, kami telah memperluaskan perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menyediakan perkhidmatan terminal kimia.

“Tahun ini, kami mengambil langkah penting dengan mengintegrasikannya dengan pengeluaran bahan kimia bukan organik.

“Perniagaan kami juga semakin berkembang, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat serantau iaitu di Singapura dan Vietnam.

“Sepanjang tempoh itu, kami komited untuk menyediakan perkhidmatan kelas pertama yang sekali gus membolehkan kami membina hubungan baik dengan pelanggan berdasarkan kepercayaan yang mereka berikan,” katanya.

Sementara itu, bahagian terbitan awam IPO itu disediakan untuk langganan bermula hari ini dan permohonan ditutup pada 5 petang. 

Maybank Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan