SUKAN

Johor Berhasrat Anjur Acara Bola Sepak Sukan SEA 2027 - Exco

27/11/2024 08:26 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor berhasrat menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 dengan menawarkan beberapa venue bagi acara sukan bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata tawaran itu dibuat kerana Johor mempunyai fasiliti sukan bola sepak yang baik dengan akses terus bukan sahaja ke Kuala Lumpur, tetapi juga ke Singapura.

“Pulau Pinang dan Sarawak telah menawarkan venue bagi beberapa acara sukan, jadi Johor juga berminat untuk menganjurkan sukan bola sepak dengan menawarkan lebih daripada tiga venue.

“Antara venue itu ialah Stadium Sultan Ibrahim di sini; serta Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di Johor Bahru,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu sedang menunggu perkenan dan nasihat Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail termasuk kos penganjuran acara berkenaan.

Malaysia bersetuju menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027 dan setakat ini ia merupakan penganjuran bersama Sarawak dan Pulau Pinang.

Sementara itu Mohd Hairi berkata Johor berhasrat merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor 2026, sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar di Kuala Lumpur dua tahun lepas dengan merangka beberapa strategi.

“Bagaimanapun kita akui ia mencabar kerana Selangor selaku tuan rumah merupakan negeri yang sentiasa mencabar kejuaraan, tetapi kita akan usaha, jika tidak pun kita sasarkan kedudukan ‘top three’,” katanya.

Pada SUKMA Kuala Lumpur 2022, Johor muncul juara keseluruhan apabila meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa, dengan sukan kanu menjadi penyumbang besar pingat emas buat negeri itu.

Bagaimanapun acara kanu tidak dipertandingkan pada SUKMA di Sarawak pada Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan