SUKAN

Sabah Peruntuk Lebih RM100 Juta Untuk Pembangunan Sukan

28/11/2024 11:16 PM

KOTA KINABALU, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan RM101.49 juta bagi pembangunan belia dan sukan di negeri itu tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan negeri itu adalah bagi pentadbiran dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia dan sukan.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM12.24 juta bagi menaik taraf fasiliti di Stadium Likas termasuk balapan. 

"Ini merupakan proses berterusan untuk semua kemudahan sukan di negeri ini supaya kekal kondusif, selamat dan selesa untuk kegunaan atlet dan orang awam," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin pada majlis pembukaan Kejohanan Olahraga Belia Asia Tenggara (SEA) ke-16 di Stadium Likas di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah berbesar hati menjadi tuan rumah kejohanan tersebut yang merupakan acara utama untuk meningkatkan taraf olahraga dan mengeratkan persahabatan antara peserta negara yang bersaing.

"Kita semua akan meraih manfaat daripada acara sukan ini. Bagi pasukan Malaysia, ia satu peluang untuk bertanding dengan atlet terbaik dari rantau ini," katanya.

Lebih 200 atlet daripada 11 negara iaitu Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Timor Leste, Myanmar dan Malaysia menyertai kejohanan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan