KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- UEM Lestra Bhd memperoleh pembeli tenaga untuk projek loji tenaga solar hibrid satu gigawatt (1GW) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) melalui Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).
UEM Lestra merupakan anak syarikat milik penuh dan cabang industri hijau UEM Group Bhd.
Lestra Hexa JV Bhd, sebuah anak syarikat milik 51 peratus UEM Lestra dan entiti usaha samanya dengan HEXA Renewables milik I Squared Capital memperoleh komitmen pembeli tenaga utama mereka antaranya daripada ESR Group yang berpangkalan di Hong Kong (ESR) iaitu sebuah kumpulan pengurusan aset terkemuka di Asia Pasifik dan syarikat induk Logos Infrastructure Holdco Pte Ltd.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad berkata penglibatan ESR akan memperkukuhkan lagi kebolehlaksanaan usaha nasional ini.
Katanya, pihaknya bersemangat untuk bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan projek yang bercita-cita tinggi ini berjaya.
“Projek ini berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan merangsang pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memajukan landskap tenaga boleh baharu Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, UEM Lestra dalam satu kenyataan hari ini berkata pembeli tenaga yang komited akan memperoleh tenaga hijau daripada fasa pertama projek loji tenaga solar hibrid UEM Lestra-NETR 1GW yang akan dibangunkan di atas tapak seluas 687.96 hektar di Segamat, Johor.
Fasa pertama yang akan menyaksikan UEM Lestra melabur hampir RM2.5 bilion, mempunyai titik sambungan arus ulang alik 500 megawatt (MWac) dan akan menampilkan kapasiti solar dianggarkan 750 megawatt puncak (MWp), disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang mampu menjana lebih daripada 1,000 gigawatt-jam (GWh) tenaga hijau setiap tahun.
Pihak terlibat akan berusaha menyelesaikan Kontrak Pembekalan Elektrik Bilateral dalam beberapa bulan akan datang dengan sasaran untuk mencapai tarikh operasi komersial menjelang penghujung 2027.
Ini akan menjadi projek pertama yang dilaksanakan di bawah CRESS yang dilancarkan pada September 2024 oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga.
Skim ini bertujuan untuk menyediakan pilihan pembekalan elektrik hijau yang lebih meluas kepada pengguna korporat selain membantu mereka mencapai komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui akses pihak ketiga kepada elektrik hijau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial