JENAYAH & MAHKAMAH

Kerugian Jenayah Komersial Di N. Sembilan Catat Lebih RM50 Juta Tahun Lepas

13/02/2025 12:10 AM

SEREMBAN, 12 Feb (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan merekodkan kerugian membabitkan pelbagai jenayah komersial berjumlah lebih RM50 juta dengan 2,648 kertas siasatan dibuka pada 2024 berbanding RM44.1 juta pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata kesalahan yang menjadi trend oleh kumpulan sindiket termasuk jenayah tipu pelaburan yang mencatatkan kerugian tertinggi, iaitu RM22.9 juta melibatkan 389 kes.

“Selain itu, panggilan telefon (menyamar sebagai anggota penguat kuasa atau pegawai bank) dengan kerugian RM9.6 juta membabitkan 180 kes, tipu tawaran pekerjaan melalui media sosial (RM6.1 juta, 326 kes).

“Tipu belian barang dalam talian pula mencatat kerugian RM4.4 juta dengan 659 kes dan pinjaman tidak wujud RM3.2 juta (357 kes) serta bakinya lain-lain penipuan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata laporan polis yang diterima dari Januari hingga Disember tahun lepas pula sebanyak 8,734 kes berbanding 7,927 laporan pada 2023.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata penipuan pelaburan merekodkan kerugian berjumlah RM4.2 juta melibatkan 44 kes pada bulan lepas dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, penganggur serta mereka yang bekerja sendiri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan berjumlah RM1.3 juta menerusi empat serbuan di sekitar daerah ini pada 6 Feb lepas.

Beliau berkata hasil serbuan terbabit, sebanyak lapan individu termasuk seorang warga Singapura dan dua wanita berumur lingkungan 29 hingga 68 tahun ditahan.

“Polis turut merampas dadah, iaitu syabu seberat 33,974.07 gram, kokain (748.23 gram), dan pil Yaba (6.87 gram atau 61 biji). Selain itu, pelbagai barangan termasuk kereta dan barang kemas disyaki hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM788,000 turut dirampas," katanya.

Ahmad Dzaffir berkata kesemua individu itu direman hingga Khamis ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, 39A (2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan