AM

Nasib Kanak-kanak Cedera Dipercayai Dipukul Ibu Dapat Perhatian Menteri Pendidikan

13/02/2025 12:29 AM

ARAU, 12 Feb (Bernama) -- Nasib kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang cedera selepas dipercayai dipukul ibunya sehingga tersungkur dan terhantuk di bucu bangku di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi dekat sini Ahad lepas mendapat perhatian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina yang diwakili Pegawai Khas beliau Abu Seman Mat Karim hari ini menyampaikan sumbangan termasuk bakul makanan Rahmah, peralatan sekolah dan wang tunai kepada kanak-kanak perempuan itu yang ditemani bapanya berusia 28 tahun serta neneknya.

Hadir sama pada sesi penyampaian sumbangan di bilik sewa ibu bapa kanak-kanak berkenaan di Jejawi itu, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Perlis Ku Chik Ku Mat Esa.

Wakil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut hadir menyampaikan sumbangan wang tunai kepada kanak-kanak berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan itu, nenek kepada kanak-kanak itu mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan kepada cucunya.

"Buat masa ini, saya yang akan jaga mereka dua beradik (kanak-kanak itu dan adik perempuannya) di Jerlun, Kedah. Cucu (mangsa) saya ini selalu pergi sana (di Jerlun). Insya-Allah, saya boleh jaga (mereka)," katanya yang merupakan nenek di sebelah bapa kanak-kanak itu.

Semalam, media melaporkan seorang pekerja kantin berusia 37 tahun direman enam hari untuk membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas wanita itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi pada 10 Feb.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan